Kelapa bersaiz kecil jejas hasil jualan pekebun

Kelapa bersaiz kecil jejas hasil jualan pekebun

NORMAN Marzuki menunjukkan kelapa bersaiz kecil di kebunnya dipercayai kesan daripada banjir termenung yang melanda kawasan Bagan Datuk, Perak sebelum ini. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Pekebun kelapa di sini berdepan masalah buah kelapa bersaiz kecil tidak seperti kebiasaan dipercayai kesan daripada musim hujan beberapa bulan lalu.

Seorang pekebun kelapa, Norman Marzuki, 40, berkata, keadaan itu berlaku sejak dua bulan lalu selepas musim hujan yang menyebabkan banyak kebun kelapa di sini ditenggelami air atau banjir termenung.

Menurutnya, peraih tidak membeli saiz buah kelapa yang kecil menyebabkan kadar jualan merosot berbanding semasa buah kelapa bersaiz besar.

Katanya, ini menyebabkan mereka terpaksa memproses sendiri kelapa bersaiz kecil untuk digunakan sebagai santan.

“Dalam tempoh sebulan dua ini, pokok kelapa di sini mengalami fenomena buahnya bersaiz kecil. Setiap pokok menghasilkan buah yang banyak tetapi banyak yang bersaiz kecil dan tidak boleh dijual kepada peraih, mereka enggan mengambilnya.

“Buah bersaiz kecil disebabkan kebun ditenggelami air dalam tempoh yang lama semasa musim hujan sebelum ini.

“Kami tidak tahu sampai bila keadaan ini akan pulih, semuanya bergantung kepada keadaan cuaca. Kelapa perlukan cuaca yang seimbang, maksudnya tidak boleh terlalu banyak air seperti banjir dan tidak boleh tiada air langsung seperti musim kemarau,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, bulan puasa tidak lama lagi dijangka meningkatkan permintaan buah kelapa untuk masakan dan membuat kuih untuk berbuka.

Katanya, diharapkan keada­an itu secara tidak langsung membolehkan kelapa bersaiz kecil juga dapat dijual.

Jelasnya, permintaan kelapa bergantung kepada bekalan dan biasanya peraih dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain merupakan pelanggan tetap yang membeli kelapa dari Bagan Datuk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN