NEW YORK: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menyamar sebagai ejen persekutuan dalam cubaan untuk membebaskan Luigi Mangione, suspek utama kes pembunuhan berprofil tinggi membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) United Healthcare pada 2024.
Mark Anderson, 36, didakwa pergi ke penjara di New York tempat Mangione ditahan dan mendakwa dirinya adalah ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI), menurut dokumen aduan jenayah. Beliau turut mendakwa memiliki dokumen yang ditandatangani oleh hakim bagi membebaskan suspek pembunuhan tersebut.
Walaupun aduan rasmi tidak menyebut nama Mangione secara spesifik, sumber penguatkuasa undang-undang memberitahu BBC Anderson didakwa cuba membebaskan lelaki berkenaan. Suspek dihadapkan ke mahkamah pada Khamis namun belum mengemukakan sebarang pengakuan.
Menurut dokumen mahkamah, Anderson menghampiri kawasan pendaftaran Pusat Tahanan Metropolitan di Brooklyn pada Rabu dan memberitahu pegawai bertugas dia adalah ejen FBI yang membawa arahan mahkamah untuk membebaskan seorang banduan.
Apabila diminta menunjukkan kad pengenalan ejen, Anderson sekadar memberikan lesen memandu Minnesota. Dia juga mendakwa memiliki senjata sebelum bertindak menunjuk dan membaling timbunan dokumen ke arah kakitangan penjara.
Pegawai Biro Penjara kemudian menahan Anderson dan memeriksa beg miliknya. Hasil pemeriksaan menemukan sebilah garpu barbeku yang besar serta satu alat yang menyerupai pemotong piza.
Sumber keselamatan memaklumkan suspek sebelum ini melakukan perjalanan dari Mankato, Minnesota ke New York untuk mencari peluang pekerjaan dan bekerja di sebuah kedai piza tempatan. Anderson kini berdepan pertuduhan menyamar sebagai pegawai awam.
Mangione ditahan di penjara Brooklyn sejak 2024 selepas ditangkap di sebuah restoran McDonald’s di Pennsylvania susulan pemburuan besar-besaran di beberapa negeri.
Beliau berdepan pertuduhan peringkat negeri dan persekutuan atas pembunuhan CEO United Healthcare, Brian Thompson, namun mengaku tidak bersalah.
Sejak penangkapannya, Mangione secara mengejut mendapat sokongan meluas daripada kumpulan penyokong dalam talian dan ketika kehadiran di mahkamah. Kes pembunuhan itu turut mencetuskan perdebatan hangat di Amerika Syarikat (AS) mengenai isu kos penjagaan kesihatan yang tinggi.
Proses pemilihan juri bagi perbicaraan persekutuan Mangione dijadualkan bermula pada September depan.-AGENSI









