SUASANA di pusat komuniti bertukar kecoh apabila seorang lelaki menyerbu ke arah podium dan menyembur cecair dipercayai bahan kimia terhadap wakil Kongres Amerika Syarikat (AS), Ilhan Omar, semasa satu sesi pertemuan awam di Minneapolis Selasa lalu.
Suspek dikenali sebagai Anthony James Kazmierczak, 55, menyerbu ke pentas dan menyasarkan Ilhan yang ketika itu berucap dan mengkritik tindakan penguatkuasaan imigresen di negeri itu.
Lelaki terbabit didakwa bagi kesalahan serangan tahap ketiga dan kini ditahan dalam lokap, menurut pejabat sheriff tempatan.
Ilhan tidak mengalami sebarang kecederaan dan meneruskan ucapannya semasa sesi town hall itu.
“Saya baik-baik sahaja. Saya terselamat dan kekacauan ini tidak akan menggugat saya daripada terus menjalankan tugas. Saya tidak akan membiarkan pembuli menang,” tulisnya dalam hantaran di platform X.
Walaupun motif serangan terhadap Ilhan masih belum diketahui, ahli Kongres Demokrat kelahiran Somalia itu sudah sekian lama menjadi sasaran ugutan keganasan.
Kebanyakan ugutan tersebut diterima daripada individu tidak dikenali, namun Ilhan juga sering menjadi sasaran kemarahan Presiden AS, Donald Trump.

Kebelakangan ini, Trump meluahkan retorik permusuhan terhadap semua rakyat Amerika-Somalia dan Somalia, sementara pentadbirannya melancarkan tindakan keras terhadap pendatang di negeri Minnesota, yang diwakili Ilhan di Dewan Perwakilan AS.
Ilhan merupakan warga Somalia-Amerika pertama yang berkhidmat di Kongres AS pada 2019 dan pengkritik tegar Trump.
Beliau baru-baru ini mengkritik tindakan keras ejen imigresen di bawah pentadbiran Trump di Minnesota, yang membawa kepada kematian dua warga AS.
Semasa berucap dalam sesi town hall, Ilhan menyeru pemansuhan Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE), sebuah agensi utama yang bertanggungjawab melaksanakan operasi tersebut.
Trump kerap bertelagah dengan pegawai Demokrat di Minnesota, dan sering mengecam Ilhan khususnya atas serangan peribadi.
Sebelum serangan terhadap ahli Kongres itu, Trump memberitahu orang ramai di lowa bahawa pendatang ke AS perlu tunjuk mereka boleh mencintai dan berbangga dengan negara itu, tidak seperti Ilhan.
SASARAN KRITIKAN TRUMP
Ilhan datang ke AS sebagai pelarian kanak-kanak dari Somalia. Beliau dilahirkan di Mogadishu dan keluarganya melarikan diri dari negara itu pada 1991, apabila Somalia dilanda perang saudara berpanjangan, kebuluran dan serangan kumpulan bersenjata al-Shabab.
Selepas menghabiskan empat tahun di kem pelarian di Kenya, keluarganya memperoleh penempatan semula di negeri Virginia, AS.
Mereka kemudian berpindah ke Minneapolis yang menjadi rumah kepada komuniti Somalia terbesar di negara itu.
Dianggarkan kira-kira 80,000 orang di Minnesota adalah berketurunan Somalia. Kebanyakan daripada mereka dilahirkan di AS.
Daripada sejumlah mereka yang dilahirkan di luar negara, 87 peratus memperoleh kewarganegaraan AS melalui permohonan.
Sejak November, Trump kerap menyerang Somalia dan diaspora negara itu serta menjadikan Ilhan sebagai sasaran kritikan.
Pada April 2019, Trump menuduh Ilhan meremehkan serangan 11 September 2001. Selepas hantarannya di X terhadap Ilhan, wakil Demokrat itu menerima banyak ancaman bunuh.
Tiga bulan kemudian, semasa melancarkan kempen pemilihan semula bagi pilihan raya 2020, Trump sekali lagi menuduh Ilhan tidak berterima kasih kepada AS, dengan penyokongnya menjerit supaya beliau dihantar pulang ke negara asal.
“Dia seorang yang tidak cekap dan sangat teruk,” kata Trump pada Disember, menuduh tanpa bukti kononnya Ilhan membenci semua orang dan bersikap anti-Semitik.
Susulan itu, Ilhan menyifatkan ‘obsesi’ Trump terhadap dirinya sebagai sesuatu yang menyeramkan.










