JPN nafi ingkar arahan mahkamah

JPN nafi ingkar arahan mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) nafi mengingkar perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai permohonan pengeluaran MyKad, sebaliknya menegaskan komitmennya sepenuhnya untuk menghormati keputusan itu.

JPN berkata, pihaknya komited untuk melaksanakan perintah tersebut dalam tempoh 30 hari dari tarikh permohonan dibuat oleh individu berusia 17 tahun yang dikenali sebagai CJ seperti diarahkan oleh mahkamah.

Bagaimanapun, katanya, kes tersebut turut melibatkan isu penipuan dokumen semasa permohonan sijil kelahiran dibuat oleh ibu individu terbabit pada tahun 2008.

“Penipuan dokumen tersebut melibatkan pengeluaran bukti kelahiran secara tidak sah oleh sebuah fasiliti perubatan, iaitu Taj Hospital, yang mana hospital tersebut telah pun disenarai hitamkan oleh JPN.

“Isu ini merupakan asas kepada ketidakselarasan dan penipuan dokumen yang direkodkan oleh JPN sebelum perkara status kewarganegaraan individu terbabit dibawa ke mahkamah,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Pada 8 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan CJ (bukan nama sebenar) sebagai warganegara Malaysia dan mengarahkan JPN mengeluarkan MyKad kepadanya dalam tempoh 30 hari selepas permohonan.

Namun, hari ini, media melaporkan, kumpulan peguam yang mewakili remaja itu mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan JPN segera mematuhi perintah mahkamah tersebut.

Kumpulan peguam yang terdiri daripada Latheefa Koya, N Surendran, dan Zaid Malek itu mendakwa JPN Putrajaya sengaja menghalang proses tersebut dengan enggan memberikan borang permohonan MyKad yang sepatutnya.

Dakwanya, JPN menyuruh CJ dan ibunya melengkapkan pelbagai borang lain yang tidak diperlukan oleh perintah mahkamah.

Mengulas lanjut, JPN berkata, disebabkan situasi dihadapi itu maka tindakan pembetulan dan pengesahan dokumen perlu dilaksanakan terlebih dahulu selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur pendaftaran yang berkuat kuasa sebelum sebarang pengeluaran dokumen pengenalan diri dapat dilakukan.

“Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah berkaitan penentuan status kewarganegaraan individu tersebut, dan pelaksanaannya oleh JPN perlu dibuat mengikut kerangka perundangan sedia ada.

“Ini termasuk keperluan pendaftaran kad pengenalan bagi individu berusia melebihi 16 tahun yang tertakluk kepada proses pendaftaran lewat kad pengenalan,” jelasnya.

Katanya, JPN tidak boleh terus mencetak dan mengeluarkan MyKad tanpa melengkapkan proses pembetulan rekod dan pendaftaran yang diperlukan khususnya dalam kes yang melibatkan ketidakselarasan atau penipuan dokumen sebelum ini.

Jelasnya, semua langkah yang diambil adalah bagi memastikan ketepatan, integriti rekod negara serta pematuhan kepada undang-undang. 

“JPN ingin memberi jaminan bahawa tiada keingkaran terhadap perintah mahkamah berlaku dan semua tindakan sedang dilaksanakan secara teratur, berhemah serta selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.

“CJ telah hadir ke kaunter Bahagian Kad Pengenalan (BKP) JPN Putrajaya pada 8 Januari lalu bagi penyerahan perintah mahkamah tersebut. Sehubungan itu, JPN telah menyerahkan borang permohonan dan senarai semak pendaftaran lewat kad pengenalan untuk dilengkapkan oleh CJ sebagai sebahagian daripada proses pelaksanaan perintah mahkamah.

“Namun demikian, sehingga hari ini, JPN masih belum menerima borang permohonan daftar lewat kad pengenalan yang lengkap daripada CJ untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN