Jika kualiti itu ada, bayaran tinggi tidak menjadi isu - Aidil Aziz - Utusan Malaysia

Jika kualiti itu ada, bayaran tinggi tidak menjadi isu – Aidil Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon berpengalaman, Aidil Aziz, 38, berpandangan bahawa isu pelakon yang meletakkan bayaran tinggi tanpa kualiti serta pengalaman setimpal bukanlah sesuatu yang baharu dalam industri seni tanah air.

Malah, secara peribadi, dia juga mengakui bahawa perkara itu sudah lama berlaku dan melibatkan pelbagai faktor.

Menurut Aidil, dalam mana-mana bidang profesional, bayaran seharusnya ditentukan berdasarkan nilai, kemahiran dan kualiti kerja yang mampu ditawarkan oleh seseorang individu, bukannya semata-mata atas permintaan atau populariti sementara.

“Pada pandangan saya, seseorang itu boleh dibayar mengikut kemampuan pihak produksi, namun persoalannya ialah apa nilai yang boleh diberikan semula.

“Jika kualiti dan kemahiran itu ada, bayaran tinggi tidak akan menjadi isu,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Aidil menjelaskan konsep bayaran dalam industri seni seharusnya sama seperti pengambilan pekerja dalam organisasi lain, di mana prestasi dan keupayaan menjadi ukuran utama.

“Jika seseorang meminta gaji tertentu, ia bukan masalah sekiranya dia mampu membuktikan kebolehannya. Malah, jika prestasinya cemerlang, bayaran itu boleh ditingkatkan tanpa perlu diminta,” jelasnya.

Mengulas mengenai pelakon baharu yang dikatakan terlalu awal menetapkan bayaran tinggi walaupun masih kurang pengalaman, Aidil tidak menolak kemungkinan tekanan kos sara hidup masa kini menjadi antara faktor pendorong. 

Namun, pelakon ini menegaskan bahawa rezeki dalam industri hiburan perlu diiringi dengan usaha, keikhlasan dan kualiti kerja.

“Kos hidup sekarang semakin mencabar, tetapi dalam soal kerjaya, kualiti perlu didahulukan. Berikan yang terbaik terlebih dahulu, insya-Allah populariti dan rezeki akan menyusul,” katanya.

Dalam masa sama, Aidil mengakui isu bayaran rendah dalam industri turut sering diperkatakan, namun dia memilih untuk tidak mengulas panjang kerana ia melibatkan struktur industri dan pihak pengurusan yang kompleks.

“Perkara ini bukan hanya melibatkan pelakon, tetapi juga krew di belakang tabir. Ia sudah lama berlaku dan berpunca daripada pelbagai faktor. Kita tidak boleh menyalahkan satu pihak sahaja,” ujarnya.

Menurut Aidil, walaupun industri kini berada dalam era yang lebih moden, cabaran tetap wujud dan setiap pihak termasuk penerbit serta stesen penyiaran mempunyai kekangan tersendiri.

“Sebagai pelakon, kita mungkin merasakan bayaran perlu disemak semula, namun pihak atasan juga mempunyai cabaran mereka sendiri. 

“Oleh itu, saya berhati-hati untuk mengulas lebih lanjut kerana isu ini bersifat sensitif. Bagi saya, jika kita menjaga kualiti dan disiplin, insya-Allah kita mampu bertahan. 

“Lihat sahaja isteri saya, Fasha Sandha sebagai contoh. Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan isu industri, dia kekal relevan kerana kualiti dan komitmen yang dimiliki. Saya bukan cakap begini kerana dia isteri saya, tetapi ini sebagai orang industri,”katanya.

Sementara itu, Aidil turut mengakui isterinya menjadi sumber inspirasi dan rujukan dalam kerjayanya, khususnya dalam mengurus tekanan, emosi dan membuat keputusan secara berhemah.

“Dia tidak membuat keputusan secara terburu-buru. Sebaliknya, dia mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak sebelum bertindak. 

“Itu satu contoh yang baik dan saya sendiri banyak belajar daripadanya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aidil memaklumkan, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama berskala besar terbitan Astro berjudul Sujud Terakhir arahan Shahruz Izzat. 

Disebabkan komitmen tinggi terhadap naskhah tersebut, Aidil memilih untuk menumpukan sepenuh perhatian dan tidak menerima tawaran lain buat sementara waktu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN