Kad Pengenalan Pemastautin Tetap hanya untuk individu yang layak

Kad Pengenalan Pemastautin Tetap hanya untuk individu yang layak

JPN
JABATAN PENDAFTARAN NEGARA (JPN)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiap permohonan Pemastautin Tetap (MyPR) dan kewarganegaraan Malaysia diproses mengikut kawalan prosedur yang ketat bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak diberi status tersebut.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata, Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) diberikan kepada individu bukan warganegara yang telah memperoleh status pemastautin tetap melalui Permit Masuk sah daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). 

Katanya, sehingga 31 Disember 2025, seramai 261,156 pemegang MyPR direkodkan di seluruh negara.

“Pada masa ini, kawalan utama permohonan MyPR bergantung sepenuhnya kepada Permit Masuk sah yang diperoleh daripada JIM. 

“Pertimbangan dan kelulusan Permit Masuk tertakluk sepenuhnya kepada kriteria dan penilaian yang ditetapkan oleh JIM. 

Semakan silang secara bersepadu antara JPN dan JIM dijalankan bagi memastikan Permit Masuk yang dikemukakan adalah tulen, sah, dan diberikan kepada individu yang benar-benar layak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut JPN, setiap permohonan MyPR dan kewarganegaraan diperhalusi oleh Panel Jawatankuasa Pertimbangan Kelulusan secara berkala bagi memastikan kesahihan dan kelayakan pemohon. 

Katanya, kad MyPR diberikan, status dan kad tersebut boleh ditarik balik sekiranya pemegangnya terlibat dalam kesalahan yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman awam atau kepentingan negara.

“Penganugerahan kewarganegaraan Malaysia kepada individu bukan warganegara adalah hak eksklusif Kerajaan Persekutuan dan merupakan anugerah tertinggi yang tidak diberikan sewenang-wenangnya. 

“Setiap permohonan diteliti mengikut peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964, dengan mengambil kira kepentingan nasional serta keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada,” katanya.

Tambah JPN, pihaknya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan sentiasa memastikan setiap permohonan diteliti dengan teliti dan mengikut giliran sebelum sebarang keputusan dikeluarkan. 

Katanya, proses ini dijalankan bagi memastikan taraf kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada individu yang benar-benar layak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan berkaitan tanpa menjejaskan keselamatan, kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

“JPN menegaskan komitmen untuk memastikan setiap permohonan MyPR dan kewarganegaraan Malaysia diproses secara telus, teratur, dan berpandukan undang-undang yang berkuat kuasa. 

“Dalam hal ehwal kewarganegaraan, pertimbangan dibuat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 serta perundangan berkaitan yang merangkumi pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen.

“Titah nasihat dan keprihatinan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang amat dihargai, dan warga KDN serta JPN akan terus memikul tanggungjawab dengan penuh integriti serta dedikasi seperti dititahkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN