Sakit kaki warga emas boleh jadi petanda lebih serius

Sakit kaki warga emas boleh jadi petanda lebih serius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Warga emas sering mengeluh sakit kaki yang menyebabkan pergerakan mereka menjadi lemah dan terhalang untuk berjalan mahupun berdiri lebih lama di sesuatu tempat.

Dengan peningkatan usia, badan secara semula jadi akan mengalami perubahan degeneratif iaitu penurunan fungsi sel atau tisu tubuh. Bagi warga emas, kesakitan di kaki atau pergelangan kaki tidak semestinya berpunca dari kawasan berkenaan sahaja.

Sakit di pergelangan kaki boleh disebabkan oleh masalah setempat seperti kecederaan akibat jatuh (trauma), arthritis, gout dan masalah saraf (neuropati). Namun, pada usia lebih lanjut, kesakitan ini tidak wajar dinilai secara terasing kerana ia mungkin adalah simptom daripada masalah sendi seperti lutut, pinggul atau tulang belakang.

Pakar Perunding Ortopedik dan Pembedahan Artroplasti, Pusat Perubatan Ara Damansara, Dr. Khairul Anwar Ayob berkata, sakit pada kaki dan pergelangan boleh bertambah buruk jika terdapat masalah pada tulang pinggul. Keadaan ini juga boleh mengubah cara berjalan dan keseimbangan badan.

“Sakit pada tulang pinggul boleh menyebabkan tekanan berlebihan pada sendi-sendi kecil di kaki dan pergelangannya. Apabila keadaan ini digabungkan dengan osteoporosis, di mana tulang akan menjadi lebih rapuh, jatuh yang kelihatan ringan boleh mengakibatkan kepatahan tulang pinggul yang lazimnya memerlukan pembedahan.

“Sebagai contoh, tokoh negarawan kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad, baru-baru ini dimasukkan ke hospital selepas jatuh dan disahkan patah tulang pinggul. Kejadian ini menggambarkan patah tulang akibat jatuh bukan perkara asing dalam warga emas, walaupun mereka kelihatan aktif dan sihat,” terangnya.

Kebanyakan orang beranggapan sakit kaki akibat terseliuh dan sakit kaki lain boleh hanya dirawat dengan menuam air batu saja. Tidak dinafikan menuam dengan ais boleh membantu mengurangkan kesakitan dan keradangan, terutamanya bagi kecederaan ringan.

Bagaimanapun, katanya, bagi warga emas, rawatan menghilangkan kesakitan dengan menuam tidak mencukupi dan lebih membahayakan, ia berisiko melambatkan diagnosis atau pengesanan punca penyakit serta rawatan sebenar.

“Sekiranya kesakitan berlarutan dan terdapat kesukaran berjalan ataupun bengkak yang tidak surut, keadaan ini mungkin menandakan masalah yang lebih serius. Pemeriksaan awal membolehkan masalah dikenal pasti dan dirawat sebelum menjadi lebih teruk.

“Tanpa diagnosis tepat, rawatan sepatutnya tertangguh, sekali gus meningkatkan risiko komplikasi. Pengambilan ubat tahan sakit tanpa nasihat doktor juga boleh menyebabkan kesan sampingan teruta­manya kepada perut, buah pinggang dan sistem kardiovaskular,”katanya.

RAWATAN MENYELURUH

Pemeriksaan menyeluruh adalah amat penting sebelum menjalani rawatan terutamanya bagi warga emas yang mengalami sakit kaki. Ini merangkumi, mengenal pasti punca kesakitan, menilai tahap risiko dan komplikasi.

Dr. Khairul Anwar berkata, memberi rawatan yang sesuai mengembalikan seseorang kepada fungsi dan tahap berdikari asal. Selain itu, pendidikan pesakit dan ahli keluarga penting untuk mengelakkan kejadian berulang dan memastikan kualiti hidup jangka panjang terpelihara.

“Pembedahan biasanya akan dipertimbangkan apabila keupayaan seseorang itu untuk berdikari terjejas atau berisiko. Sebagai contoh, dalam kes patah tulang pinggul atau tulang paha.

“Matlamat utama adalah untuk menstabilkan tulang dan membolehkan pesakit bangun dan bergerak seawal mungkin untuk mengelakkan komplikasi terlantar terlalu lama. Menerusi penilaian rapi dan perancangan yang baik, pembedahan patah pinggul secara umumnya selamat, walaupun pada usia sudah lanjut,” jelasnya.

Hakikatnya, pesakit yang tidak dirawat dan terlantar dalam tempoh lama menghadapi risiko lebih tinggi mendapat penyakit jangkitan paru-paru, pembekuan darah, serta luka tekanan (bed sore) yang lebih tinggi berbanding risiko berkaitan pembedahan itu sendiri.

Selain pembedahan, fisioterapi merupakan kaedah sokongan sangat penting, khususnya untuk mengembalikan kekuatan otot, keseimbangan badan dan keyakinan untuk bergerak selepas kecederaan atau pembedahan.

Beliau menambah, sekiranya ingin menjalankan urutan tradisional, perlu dilakukan dengan berhati-hati. Tanpa diagnosis yang tepat, ia berisiko memburukkan keadaan, terutamanya jika terdapat patah tulang yang tidak disedari.

Perubahan gaya hidup

Teras pencegahan masalah berkaitan penuaan termasuk melakukan senaman aerobik untuk kesihatan jantung, senaman kekuatan (resistance training) untuk mengekalkan jisim otot, pemakanan berkhasiat, terutamanya protein, vitamin dan mineral.

Otot dan tulang kuat serta keseimbangan yang baik dapat mengurangkan risiko komplikasi osteoporosis. Aktiviti fizikal yang ringan dan dijalankan secara tetap dapat mengekalkan kekuatan otot dan tulang dan seterusnya mencegah risiko patah.

“Selain mengamalkan gaya hidup sihat, pengubahsuaian persekitaran atau susun atur dalam rumah yang selamat dapat mengurangkan risiko terjatuh. Pastikan susun atur perabot tidak menghalang atau mengehadkan pergerakan warga emas.

“Saringan osteoporosis juga perlu dilakukan dan permulaan rawatan tulang rapuh boleh dijalankan jika perlu. Program pencegahan terjatuh juga perlu dianjurkan bagi memberikan pendidikan berterusan kepada pesakit dan ahli keluarga. Langkah-langkah ini dapat mengurangkan risiko jatuh, patah tulang dan komplikasi serius warga emas,”katanya.

Secara keseluruhannya, kesakitan kaki warga emas janganlah dipandang ringan. Ia sering menjadi petunjuk awal kepada masalah lebih besar, khususnya tulang rapuh, gangguan keseimbangan dan risiko komplikasi kepatahan.

Pengesanan awal, rawatan yang tepat, pemulihan berstruktur serta perubahan gaya hidup, bukan sahaja dapat mengurangkan kesakitan, malah mengekalkan kebolehan berdikari dan kualiti hidup warga emas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×