Keesokan harinya Jenal bertemu Nasir di pondok berhampiran perhentian bas tempat kebiasaan mereka melepak. Memang begitulah rutin mereka sebelum ini apabila ada sahaja masa terluang pastinya mereka akan berkumpul di situ sebelum pulang ke rumah.
“Beb, aku ada perkara penting hendak share dengan kau ini, mesti kau tak percaya punya,” kata Jenal serius.
Nasir yang sedang leka membelek telefon bimbitnya memandang ke arah Jenal dengan dahi berkerut.
Dalam hati dia tertanya-tanya, apakah cerita sensasi yang ingin dikongsikan rakannya itu?
“Aku rasa betullah apa yang kau fikir sebelum ini. Aku percaya kedai baru di seberang jalan itu mesti guna pelaris yang tidak elok,” kata Jenal bersungguh.
Nasir terdiam. Dia tidak menyangka setiap butir ayat yang keluar dari mulut Jenal ketika itu.
Kenapa pula tiba-tiba Jenal mempercayainya? Pasti ada sebab munasabah. Terus dia duduk di sebelah sahabatnya itu untuk bertanya lanjut.
“Eh, macam mana pula kau boleh kata kedai itu guna pelaris yang tidak elok pula? Kau ada jumpa apa-apa bukti? Tanya Nasir penuh minat.
Terus Jenal ceritakan tentang apa yang terjadi kepada adiknya, Shukor. Katanya, tengah malam semalam adiknya itu pulang dari pekan.
Waktu itu sudah hampir pukul 1 pagi, jalan raya sunyi sepi dan gerai makan juga kebanyakannya semua sudah tutup.
Kata adiknya lagi, waktu dalam perjalanan itu entah kenapa perutnya terasa amat lapar. Namun nasib baiklah warung yang baru beroperasi itu masih buka, terus dia singgah untuk isi perut.
Dia cukup bernasib baik kerana warung tersebut masih terima pelanggan. Apa lagi terus dia pesan nasi goreng dengan teh ais.
Katanya, waktu itu hanya dia seorang pelanggan di situ. Malah, beberapa pekerjanya pun sudah mula sibuk mengemas.
Jenal sambung cerita, katanya, ketika Shukor menunggu makanan sampai, dia sempat mencuri pandang kawasan sekitar sehinggalah dia ternampak seorang pekerja di situ membawa beberapa bungkus plastik berisi sisa makanan menuju ke semak berdekatan.
Shukor fikir pekerja tersebut ingin kumpul bungkusan sampah di situ, tetapi dia silap. Pekerja tersebut dilihat mencurahkan sisa makanan di tepi semak berhampiran.
Shukor rasa pelik, dalam hatinya terfikir apa kejadahnya mereka buang semua sampah dan sisa makanan di situ, nanti pastilah tempat tersebut akan kotor dan berbau busuk.
Shukor terus pandang ke arah lelaki tersebut. Kali ini dia masuk semula ke dapur dan mengisi air bilasan pinggan mangkuk yang ada dalam sinki ke dalam sebuah bekas plastik.
Seperti sebelumnya juga lelaki tersebut membawa bekas berisi air kotor tersebut dan meletakkannya berdekatan sisa makanan yang dibuangnya tadi.
Shukor memerhatikan dengan penuh minat. Matanya tidak lepas dari memandang ke arah semak berdekatan. Dia ingin tahu apa motif pekerja tersebut. Dan tanpa diduga tiba-tiba rimbunan pohon berdekatan semak tersebut bergoyang kuat.
ZRASSSSSS…ZRASSSSSS…
ZRASSSSSS…
Shukor tergamam. Matanya jelas melihat satu makhluk seakan seekor monyet sedang keluar dari celah semak berkenaan dan memakan sisa makanan tersebut dengan lahapnya.
Walaupun tidak dapat melihat dengan jelas, namun kata Jenal adiknya dapat melihat dengan jelas fizikal haiwan tersebut.
Katanya, binatang yang dilihatnya itu memang seakan seekor monyet tetapi bulunya panjang dan matanya merah menyala.
Kata Jenal lagi, adiknya terus tidak lalu hendak jamah makanan. Seleranya mati tiba-tiba. Perut yang tadinya berasa lapar, terus jadi kenyang.
Lepas menjamah sedikit makanan yang dipesannya terus dia pecut motor balik rumah.
Keesokan paginya ketika bersarapan barulah dia menceritakan apa yang terjadi kepada Jenal.
“Terlopong mulut aku beb bila dengar cerita dia. Terus aku teringatkan cerita kau sebelum ini. Aku tahu dia bukan reka cerita sebab kalau dia buat cerita pun tak ada apa-apa untungnya.
“Rasanya memang ada yang pelik dengan warung tu. Kau bayangkan mana pula datangnya monyet di kampung kita ini. Lepas itu pula ada yang sediakan makanan dan minuman untuk beri pada haiwan itu. Kau tak rasa pelik ke?” Kata Jenal bersungguh.
Nasir angguk kepala berfikir sesuatu. Jika benarlah apa yang diperkatakan Jenal itu maka tidak mustahillah telahannya selama ini. Memang dari dahulu lagi dia syak warung tersebut ada pakai pelaris yang tidak betul. Dan kini baru dia dapat jawapannya.
“Aku ingat hendak pergi jumpa Ustaz Nawi lah. Aku nak minta dia tolong tengokkan kalau-kalau betul apa yang adik kau nampak semalam itu.
“Aku hendak tolong Mak Som, sekurang-kurangnya biar dia tahu cerita sebenar dan boleh buat apa-apa yang patut supaya bisnes dia tidak melingkup,” kata Nasir lagi.
Jenal sekadar mengangguk tanpa jawapan. Lantas dia terus menawarkan diri untuk mengikut Nasir berjumpa Ustaz Nawi, sekurang-kurangnya dia boleh menceritakan serba sedikit tentang apa yang dilalui oleh adiknya malam semalam.
“Okey, kalau macam itu nanti lepas Maghrib kita sembang dengan Ustaz Nawi. Kita tengok apa katanya, manalah tahu dia boleh bantu kita nanti,” sambung Nasir.
Setelah mencapai kata sepakat, mereka lantas beredar dan berjanji untuk bertemu semula pada Maghrib nanti.
Kini Nasir rasa puas kerana telahannya selama ini menjadi kenyataan. –UTUSAN
bersambung










