KOTA TINGGI: Kebakaran tanah gambut yang berlaku di Jalan Sungai Kapal semalam, memaksa memaksa dua keluarga dipindahkan sementara ke Balai Komuniti Teluk Empang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin berkata, keluarga tersebut terdiri daripada empat dewasa dan dua kanak-kanak yang menetap di Taman Bayu Damai, di sini.
Katanya, langkah tersebut diambil susulan jarak kediaman kedua-dua keluarga itu yang berhampiran dengan lokasi kebakaran sehingga mendedahkan mereka kepada risiko kesihatan dan keselamatan.
“Saya telah tinjau beberapa lokasi kebakaran terbuka yang berlaku susulan cuaca panas dan angin kencang di sekitar Taman Bayu Damai dan Lepau. Anggota bomba sedang melakukan pemantauan serta kerja-kerja kawalan kebakaran.
“Kepada penduduk terkesan, kita nasihat agar mereka berpindah keluar sementara demi keselamatan diri dan keluarga. Orang ramai juga dinasihatkan agar berwaspada dan mengelak daripada melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Kanan I Shahrizan Selamat memberitahu, kawasan kebakaran dianggar seluas kira-kira empat hektar.
Dianggarkan 57 peratus daripada kebakaran di kawasan tersebut berjaya dipadamkan namun kerja-kerja memadam kebakaran masih dijalankan. – UTUSAN











