KUALA LUMPUR: Pelakon, Raykarl Iskandar, 20, menasihatkan kepada mana-mana pelakon cilik atau remaja yang berdepan gangguan seksual agar tidak mendiamkan perkara itu dan segera mengambil tindakan.
Menurutnya, dalam situasi tersebut, mangsa perlu tegas dan jangan sesekali memberi ruang kepada pelaku untuk melakukan kegiatan terkutuk itu.
“Mungkin ada mangsa yang tak berani mengadukan perkara itu kepada ibu bapa kerana mereka takut.
“Dalam masa yang sama mungkin mangsa juga khuatir hilang tawaran berlakon sekiranya mereka mendedahkan perkara itu kepada umum.
“Kalau ada yang cuba mengambil kesempatan, saya tidak akan teragak-agak untuk bersuara dan melawan semula.
“Dan saya tak akan bagi ruang pun kepada pelaku yang berniat tidak baik. Saya akan hindari dan elakkan. Jadi nasihat saya kepada pelakon cilik atau remaja, kalau mereka berdepan situasi ini, bersuaralah.
“Pertahankan maruah anda,” katanya sewaktu sidang media drama bersiri TikTok FYP macam VIP, baru-baru ini.
Raykarl dalam masa yang sama berterima kasih kepada bapanya yang mengajar dirinya menjadi manusia berani dan berpendirian.
“Bapa saya ajar tentang maruah, psikologi manusia dan menjadi orang berani. Nasihat itu saya manfaatkan sekarang ketika meningkat dewasa,” kongsinya. – UTUSAN










