PETALING JAYA: Penyanyi dangdut, Haiza berpendapat seseorang penyanyi memikul tanggungjawab besar terhadap masyarakat dan tidak seharusnya menormalisasikan penggunaan lirik berunsur lucah dalam karya seni mereka.
Haiza atau Rohaizah Nordin, 45, berkata, prinsip itu dipegang teguh sepanjang penglibatannya dalam industri seni tanah air walaupun wujud permintaan komersial.
“Saya sebenarnya tidak berniat untuk mencampuri urusan penyanyi lain, namun soalan tersebut diajukan kepada saya.
“Mengikut prinsip saya, jangan biasakan lirik yang mempunyai unsur sedemikian. Sebagai penyanyi, peranan kita sangat besar dalam memberi pengaruh kepada masyarakat,” katanya.
Haiza berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai lirik lagu Masuk Lagi nyanyian penyanyi dangdut, Baby Shima yang sebelum ini mencetuskan perbincangan kerana dianggap kurang sensitif oleh segelintir pihak.
Penyanyi lagu Dag Dig Dug itu turut mendedahkan pernah menerima tawaran untuk menyanyikan lagu yang bertentangan dengan prinsip peribadinya, namun memilih untuk menolak secara berhemah.
“Ada juga tawaran yang tidak selari dengan prinsip dan cara penyampaian saya, tetapi kita boleh menolak dengan baik.
“Sebagai penyanyi, kita ada hak untuk menyatakan sama ada mahu atau tidak. Jika memilih untuk menerimanya, itu adalah keputusan masing-masing. Bagi saya, tidak. Jika perlu, kita juga boleh berbincang semula dengan penulis lirik untuk menyesuaikan kandungan lagu,” jelasnya. -UTUSAN










