MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menamatkan perkhidmatan seorang setiausaha masjid berkuatkuasa hari ini, susulan rakaman video tidak bermoral yang tular dipercayai berlaku di kawasan sebuah masjid di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, penamatan perkhidmatan turut melibatkan jawatan individu itu sebagai pengerusi sebuah surau, selepas JAIM menerima surat peletakan jawatan dikemukakan.
Katanya, keputusan dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Urus (JKTU) JAIM yang bersidang hari ini.
“Mesyuarat JKTU JAIM telah mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan dia sebagai setiausaha masjid dan juga pengerusi sebuah surau di kawasan sama berdasarkan surat peletakan jawatan yang diterima pihak kami.
“Kita berharap orang ramai tidak terus memainkan sentimen isu ini kerana keputusan sudah dibuat dan tindakan sewajarnya telah diambil demi menjaga kesucian rumah ibadah serta maruah agama Islam,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Islam Melaka, Bukit Palah di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit 59 saat memaparkan seorang lelaki sedang leka menonton video lucah menerusi komputer meja dalam pejabat masjid.
Rakaman pada 27 Disember 2025 itu diambil oleh salah seorang imam yang turut disaksikan dua individu lain sebagai rujukan dalaman ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan JAIM, bukan untuk disebarkan kepada umum.
Rahmad berkata, status imam yang turut dikaitkan dalam kes itu diserahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa masjid kerana pelantikan serta pembayaran elaun dibuat di peringkat masjid.
Katanya, satu laporan polis telah dibuat oleh imam berkenaan berhubung penyebaran video itu dan JAIM menyerahkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat unsur jenayah.
“Pelantikan imam rawatib itu bukan dibuat oleh JAIM, sebaliknya melalui jawatankuasa masjid dan elaunnya juga dibayar oleh pihak berkenaan, jadi terpulang kepada mereka sama ada mahu menerima atau menolak peletakan jawatan beliau,” katanya. – UTUSAN










