MELAKA: Tiga lelaki ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas dipercayai terlibat dengan aktiviti seks sejenis di sebuah lokasi di negeri ini, semalam.
Kesemua suspek yang berusia 21, 24 dan 26 tahun itu ditahan dalam operasi khas dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JAIM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia hasil maklumat awam dan siasatan mendapati perbuatan tersebut turut dirakam dalam bentuk gambar serta video.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai melakukan hubungan luar tabii secara sukarela sesama sendiri dan perbuatan itu turut disokong dengan bukti rakaman yang ditemui dalam telefon bimbit mereka.
“Kesemua telefon pintar suspek dirampas untuk dijadikan bahan bukti dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Rahmad berkata, perbuatan sedemikian bertentangan dengan hukum syarak dan norma masyarakat, selain meniru gaya hidup songsang yang berasal daripada budaya luar.
“Sejarah telah membuktikan bagaimana azab ditimpakan ke atas kaum Nabi Luth yang menjadi pelaku awal hubungan sejenis, sama ada dalam kalangan lelaki mahupun wanita.
“Malah, data Jabatan Kesihatan Negeri Melaka turut mencatatkan peningkatan jangkitan penyakit kelamin seperti HIV, AIDS, Gonorea dan Sifilis yang majoritinya berpunca daripada hubungan sejenis,” katanya.
Rahmad berkata, sebanyak 2,037 kes atau 64 peratus daripada 3,185 kes jangkitan HIV yang direkodkan sepanjang 2024 berpunca daripada aktiviti homoseksual dan biseksual.
Katanya, siasatan terhadap ketiga-tiga individu terbabit dijalankan di bawah Seksyen 56 (Liwat), Seksyen 57 (Percubaan Liwat) dan Seksyen 58 (Perhubungan Jenis Luar Tabi’i) mengikut Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga 36 bulan atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN










