Isteri ketiga bekas PTD tidak mengaku terima hasil aktiviti haram

Dihadap lagi ke mahkamah, isteri ketiga bekas PTD tidak mengaku terima hasil aktiviti haram

SALWANI Anuar@Kamaruddin berkerusi roda semasa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Isteri ketiga bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Panglima Muhammad Hafizuddeain Jantan, Salwani Anuar@Kamaruddin yang sekali lagi dihadapkan ke muka pengadilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram, tahun lalu.

Salwani, 27, yang hadir sendiri menggunakan kerusi roda sejurus selepas memasuki bangunan mahkamah membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman. 

Berdasarkan pertuduhan, Salwani didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM5,000 yang dimasukkan ke dalam akaun miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB cawangan Jerteh, Besut pada 16 Januari tahun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)(Akta 613) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau lima juta ringgit, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide menawarkan menggunakan wang jaminan sama serta menggunakan syarat tambahan sama seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. 

Peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili Salwani bersetuju dan tiada bantahan dengan apa yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan. 

Maziah kemudian sekali lagi memohon agar kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur supaya kes ini dapat dibicarakan bersama empat pertuduhan lain serta kes yang melibatkan suami tertuduh. 

Hakim bersetuju kes dipindahkan ke Mahkamah Kuala Lumpur selain menetapkan tarikh sebutan semula pada 30 Mac ini. 

Pada 22 Januari lepas, Salwani tidak mengaku bersalah atas empat pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM77,000 dan dibenar ikat jamin sebanyak RM30,000 oleh Hakim Rosli Ahmad. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN