Ibu didakwa abai anak kandung

Ibu didakwa abai anak kandung

DAYANG Norshida dan Masran dibawa ke Kompleks Mahkamah Seremban hari ini bagi berdepan pertuduhan mengabai dan mencederakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun-UTUSAN / MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya dengan cara yang boleh mendatangkan kecederaan fizikal di sebuah pangsapuri di Nilai di sini.

Tertuduh, Dayang Norshida, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, antara September tahun 2025 hingga awal Januari ini, tertuduh telah mengabaikan kanak-kanak tersebut yang berusia 10 tahun dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal di sebuah pangsapuri di Nilai.

Sehubungan itu, tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh tiada identiti pengenalan dan didakwa merupakan warganegara Filipina berdasarkan sijil kelahiran anaknya.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan dan menetapkan tarikh 23 Februari depan sebagai tarikh untuk lantikan peguam serta serahan dokumen.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, teman lelaki wanita tersebut, Masran, 22, didakwa memiliki empat keping gambar lucah dan empat rakaman video lucah dalam simpanan telefon bimbitnya di lokasi sama pada 7 Januari lalu, kira-kira pukul 2 petang.

Berikutan itu, dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak lelaki itu pada 6 Januari lalu di lokasi sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Farha Sulaiman dan Majistret,Nurul Saqinah Rosli. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×