Ibu, bapa harap pembedahan hati bantu anak hidup normal

Ibu, bapa harap pembedahan hati bantu anak hidup normal

Mohamad Sharafi Mokhtar bersama isteri, Syahira Sarbini dan Anaqi Mikhael selepas Penyerahan Bantuan Bagi Rawatan Pemindahan Hati di Bilik Getakqn Tun Abdul Razak, Bangunan Sultan Ibrahim , Jalan Bukit Timbalan, Johor Bahru semalam. – UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bapa kepada Anaqi Mikhael Mohamad Sharafi, 8, berharap pembedahan hati yang bakal dijalani kanak-kanak itu di China akan membolehkannya menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak seusia yang lain.

Mohamad Sharafi Mokhtar, 32, memberitahu, anak sulung daripada tiga beradik itu disahkan menghidap penyakit Biliary Atresia (BA) atau kegagalan fungsi hati sejak kecil lagi.

Katanya, penyakit itu dikesan setelah Anaqi menghidap masalah kekuningan selama lebih dua minggu selepas dilahirkan.

“Setelah pemeriksaan dibu­at, hospital mengesahkan dia menghidap masalah kegagalan fungsi hati pada 2018 dan pernah menjalani ‘Kasai Procedure’ bertujuan melambatkan kerosakan hati.

“Tetapi April lalu, doktor maklumkan Anaqi perlu membuat pembedahan segera susulan bacaan hatinya semakin merosot dan keadaan tahap oksigen yang tidak stabil,” katanya ketika ditemui pada majlis sumbangan bantuan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini semalam.

Tambah Mohamad Sharafi, pihaknya sebelum ini gusar kerana kos pembedahan hati itu memerlukan penderma organ yang bersesuaian selain kos yang ditanggung agak tinggi iaitu sekitar RM185,000 kerana perlu dijalankan di luar negara.

“Alhamdulillah, kakak saya iaitu Siti Saleha Mokhtar, 41, mempunyai kumpulan darah yang sama dengan Anaqi dan dia juga bersetuju menjadi penderma.

“Selain itu, kami sekelu­arga amat berterima kasih kepada bantuan dan sumba­ngan orang ramai termasuklah MAINJ. Syukur kerana jumlah yang diperlukan untuk pembedahan tersebut dibuat telah mencukupi,” jelasnya.

Mohamad Sharafi memberitahu, pihaknya kini menunggu tarikh pembedahan yang akan dimaklumkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bilia­ry Atresia Malaysia Association (BAMA).

Sementara itu, ibu Anaqi, Syahira Sarbini, 33, pula memberitahu, kehidupan sehari­an Anaqi bergantung hampir sepenuhnya kepada bantuan oksigen kecuali ketika waktu makan, mandi atau bermain.

“Anggaran masa bagi kese­mua aktiviti itu kurang sejam sahaja setiap hari, pada waktu lain memang dia perlu bergantung kepada bantuan pernafasan.

“Kasihan juga kerana dia tidak boleh aktif seperti kanak-kanak sebaya yang lain kerana pergerakannya terhad dan mudah berasa penat,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN