PBB kecam Israel halang bekalan elektrik, air UNRWA

PBB kecam Israel halang bekalan elektrik, air UNRWA

KANAK-kanak bermain di balkoni Sekolah Bersama UNRWA yang kini kembali digunakan bagi beberapa tujuan pendidikan di barat Deir al-Balah, tengah Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, mengecam tindakan Israel yang menghalang bekalan elektrik dan air ke kemudahan milik Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

Menurut kenyataan jurucakap PBB, Stephane Dujarric, langkah berkenaan akan menyukarkan lagi operasi agensi tersebut untuk menjalankan aktiviti bantuan.

“Konvensyen mengenai Keistimewaan dan Imuniti PBB tetap terpakai kepada UNRWA, hartanah dan asetnya, serta pegawai dan kakitangan lain. Hartanah yang digunakan oleh UNRWA adalah tidak boleh diganggu gugat,” kata Dujarric sambil menekankan UNRWA merupakan bahagian penting badan dunia ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pesuruhjaya Agung UNRWA, Phillipe Lazzarini turut mengecam tindakan tersebut, menyifatkannya sebagai sebahagian daripada kempen sistematik untuk mencemarkan nama baik badan tersebut dan menghalang peranannya dalam membantu pelarian Palestin.

Pada 2024, Parlimen Israel meluluskan undang-undang yang melarang UNRWA beroperasi di negara itu serta menghalang pegawai Israel daripada berhubung dengan agensi berkenaan.

Akibatnya, UNRWA kini beroperasi di Baitulmuqaddis Timur, yang dianggap PBB sebagai wilayah yang diduduki Israel.

Agensi ini menyediakan pendidikan, kesihatan dan bantuan kepada jutaan rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan dan Syria.

Hubungan UNRWA dengan Israel lama tegang dan semakin meruncing sejak perang Gaza bermula, dengan Israel berulang kali menyeru supaya badan itu dibubarkan dan tanggungjawabnya dipindahkan kepada agensi PBB lain.

Larangan bekalan utiliti asas ke agensi PBB itu turut berlaku pada masa Israel menangguhkan operasi puluhan pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa (NGO) di Gaza kerana gagal mematuhi peraturan baharu untuk menapis kumpulan tersebut.

Dalam kenyataan bersama pada 30 Disember, Kanada, Denmark, Finland, Perancis, Iceland, Jepun, Norway, Sweden, Switzerland dan United Kingdom menyifatkan tindakan itu akan memberi kesan serius kepada akses perkhidmatan penting termasuk penjagaan kesihatan.

Mereka menekankan, satu daripada tiga fasiliti kesihatan di Gaza terpaksa ditutup jika operasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa dihentikan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini