NEW YORK: Zohran Mamdani menjadi datuk bandar pertama New York City yang mengangkat sumpah menggunakan Al-Quran.
Sebagai datuk bandar Islam dan keturunan Asia Selatan pertama di bandar terbesar Amerika Syarikat (AS) itu, Zohran menggunakan al-Quran milik datuknya dan satu salinan berusia 200 tahun yang dipinjam daripada Perpustakaan Awam New York (NYPL) untuk majlis angkat sumpah peribadi yang diadakan di sebuah stesen bawah tanah tidak digunakan di bawah Times Square.
Lapor Al Jazeera, beliau turut menggunakan dua salinan al-Quran yang pernah dimiliki oleh datuk dan neneknya untuk majlis rasmi pada waktu siang di Dewan Bandaraya New York pada Jumaat.
Al-Quran bersejarah yang dipinjam daripada perpustakaan itu dahulu milik Arturo Schomburg, seorang sejarawan dan penulis kulit hitam yang menjual koleksi 4,000 bukunya kepada NYPL pada tahun 1926.
Koleksinya menjadi bahan penting di Pusat Penyelidikan Budaya Kulit Hitam Schomburg.
“Kepentingan al-Quran yang dipilih Zohran jauh melebihi keindahan halamannya.
“Ia adalah al-Quran yang dekat dengan rakyat, bukan sahaja kerana krafnya yang sederhana, tetapi juga kerana ia sebahagian daripada koleksi sistem perpustakaan awam terbesar negara,” kata Kurator Kajian Asia Tengah dan Islam, Hiba Abid.
Zohran adalah antara beberapa ahli politik AS yang mengangkat sumpah menggunakan al-Quran.
New York tidak mewajibkan datuk bandar mengangkat sumpah dengan tangan di atas kitab agama, tetapi ramai sebelum ini memilih menggunakan Bible.
Bekas Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg menggunakan Bible keluarga berusia 100 tahun semasa satu majlis, manakala pendahulu Zohran, Eric Adams, juga menggunakan Bible keluarga untuk majlis angkat sumpah jawatannya.











