Perjanjian damai sudah 90 peratus siap - Zelensky

Perjanjian damai sudah 90 peratus siap – Zelensky

VOLODYMYR ZELENSKY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menegaskan negaranya kini hanya 10 peratus lagi untuk mencapai perjanjian damai dengan Russia, namun memberi amaran isu-isu paling penting masih belum diselesaikan dan sebarang perjanjian tidak boleh memberi ganjaran kepada Moscow.

Dalam ucapan malam Tahun Baharu, beliau berkata, negaranya mahukan penamatan konflik, tetapi bukan ‘pada apa jua harga’, sambil menegaskan sebarang perjanjian mesti disertai jaminan keselamatan yang kukuh bagi menghalang Russia daripada menyerang semula.

“Perjanjian damai itu sudah 90 peratus siap. 10 peratus lagi masih berbaki dan itu jauh lebih daripada sekadar angka.

“10 peratus itulah yang akan menentukan nasib keamanan, nasib Ukraine dan Eropah,” kata Zelensky dalam ucapan yang dimuat naik di akaun Telegram miliknya.

Ucapan Zelensky itu disampaikan hanya beberapa jam selepas pegawai Amerika Syarikat (AS), termasuk utusan tertinggi, Steve Witkoff mengadakan panggilan dengan penasihat keselamatan Ukraine dan Eropah bagi membincangkan langkah seterusnya untuk menamatkan konflik tersebut.

Perang yang kini memasuki tahun kelima itu mengakibatkan kemusnahan berskala besar sehingga memaksa jutaan orang berpindah dan meninggalkan bandar-bandar Ukraine musnah sepenuhnya.

AS berusaha merangka perjanjian damai dengan mengambil kira pandangan Moscow dan Kyiv, namun masih gagal mencapai kemajuan dalam isu utama berkaitan wilayah dalam penyelesaian pascaperang.

Presiden Russia, Vladimir Putin, mendesak agar Moscow diberikan kawalan penuh ke atas wilayah Donbas di timur Ukraine sebagai sebahagian daripada perjanjian.

Namun Zelensky berkata, beliau tidak percaya Russia akan menghentikan perang selepas memiliki Donbas sekiranya Ukraine berundur.

“‘Berundur dari Donbas, dan semuanya akan berakhir. Begitulah bunyi penipuan apabila diterjemahkan daripada bahasa Russia  ke bahasa Ukraine, ke bahasa Inggeris, ke bahasa Jerman, ke bahasa Perancis, dan sebenarnya ke dalam mana-mana bahasa di dunia,” katanya.

Awal minggu ini Kremlin berkata, pihaknya akan memperketatkan pendirian rundingannya bagi menamatkan perang, selepas menuduh Ukraine melancarkan puluhan dron ke arah kediaman tepi tasik milik Putin di wilayah Novgorod, antara Moscow dan Saint Petersburg.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×