SEREMBAN: Seorang guru lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat orang murid lelaki pada tahun 2024 dan 2025.
Tertuduh, Mohamad Kamal Nik Ismail, 41, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan amang seksual ke atas empat orang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun iaitu menyentuh dan mengusap punggung, memegang serta memicit kemaluan.
Kesemua perbuatan tersebut dilakukan di Bilik Operasi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), bilik guru dan sebelah dewan sebuah sekolah di Senawang antara bulan Jun 2024 hingga September tahun lalu.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memohon jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat-syarat tambahan.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan minimum dengan alasan sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak selain telah ditempatkan sementara di sebuah pusat kegiatan guru sejak bulan lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai. – UTUSAN










