Gagal hidupkan PN di Pulau Pinang, Pemuda Pas gesa Dominic lepas jawatan

Gagal hidupkan PN di Pulau Pinang, Pemuda Pas gesa Dominic lepas jawatan

IBRAHIM ANI dan DOMINIC LAU HOE CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pemuda Pas Pulau Pinang menggesa Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai supaya melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri ketika ini lantaran gagal menghidupkan gabungan parti itu di Pulau Pinang.

Ketuanya, Ibrahim Ani berkata, pihaknya mengikuti rapat isu berkaitan pelantikan pengerusi PN yang kini menjadi perbincangan pelbagai pihak termasuk Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Menurutnya, kenyataan Dominic yang juga merupakan Presiden Gerakan bahawa pelantikan pengerusi PN tidak semestinya berdasarkan jumlah kerusi Parlimen terbanyak disifatkan sebagai dangkal kerana faktor itu dianggap kayu ukur utama dalam mengekalkan serta menambah kemenangan pada pilihan raya akan datang.

“Pemuda Pas Pulau Pinang turut melahirkan rasa kesal kerana beliau (Dominic) dilihat langsung tidak mempunyai sebarang inisiatif untuk menggerakkan dan menghidupkan parti gabungan itu di negeri ini,” katanya di sini hari ini.

Dominic dalam kenyataannya sebelum ini dilaporkan berkata, Gerakan terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang dilantik sebagai Pengerusi PN tanpa mengira parti dan menegaskan bahawa pemimpin yang dipilih perlu bersifat sederhana, inklusif serta boleh diterima oleh semua kaum.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, sekiranya Dominic hanya mahu menunjukkan kewujudan melalui kenyataan yang disifatkan separa matang, maka, Pemuda Pas Pulau Pinang berpandangan beliau wajar melepaskan jawatan Pengerusi PN Pulau Pinang.

“Jika beliau (Dominic) tidak mahu membantu gabungan parti ini di Pulau Pinang, janganlah menjadi liabiliti kepada kami,” katanya yang memberitahu, gesaan itu juga selari dengan pendirian yang pernah disuarakan oleh Dewan Pemuda Pas Kawasan Tasek Gelugor sebelum ini yang mahu Dominic berundur.

Tambah Ibrahim, pihaknya dalam pada itu berharap agar kepimpinan PN Pulau Pinang dapat diterajui oleh individu yang benar-benar komited dalam memperkukuh gabungan itu demi menghadapi cabaran politik semasa dan pilihan raya akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN