CALIFORNIA: Penyanyi rap, Ray J baru-baru ini dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di hospital dekat sini akibat paru-paru berair.
Berkongsi perkara itu di Instagram, penyanyi berusia 45 tahun itu dalam masa sama memaklumkan tentang keadaan fungsi jantungnya yang merosot pada tahap membimbangkan.
“Terima kasih kepada yang mendoakan. Saya dimasukkan ke hospital, fungsi jantung menurun kepada 25 peratus. Tapi selagi saya fokus, keadaan akan terkawal,” katanya.
Ray J atau nama sebenarnya William Ray Norwood Jr. juga memaklumkan yang dia diberitahu hanya dapat bertahan beberapa bulan untuk hidup.
“Saya masih hidup disebabkan sokongan dan doa kalian,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Ray J tidak menolak penyalahgunaan dadah dan ketagihan alkohol menjadi punca kepada masalah kesihatannya.
Dia turut berterima kasih kepada kakaknya yang juga penyanyi, Brandy yang menampung kos rawatan hospital sepanjang tahun ini.










