KOTA TINGGI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor menangkap dua ekor gajah liar di Ladang Pasir Logok, Ulu Sedili, dekat sini semalam setelah dikesan menceroboh kawasan ladang.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, tangkapan itu dilakukan susulan aduan yang diterima daripada Pengurusan Ladang Johor Plantation Group (JPG) kelmarin.
“Seekor gajah dengan saiz tapak kaki hadapan 13 inci ditangkap di Ladang Tenggaroh 12, Mersing pada pukul 12.05 tengah hari.
“Seekor gajah lagi dengan saiz tapak kaki hadapan 15 inci ditangkap berhampiran Ladang Pasir Logok pada pukul 4.30 petang,” katanya dalam kenyataan.
Tian Soon berkata, gajah yang ditangkap itu merupakan pecahan daripada kumpulan utama ID Jemaluang yang sebelum ini sering memasuki kawasan sekitar Ladang Pasir Logok dan kawasan Pembinaan Kompleks Penapisan Minyak Sawit di Ulu Sedili yang masih dalam fasa pembinaan.
“Situasi ini telah mendatangkan ketakutan kepada pekerja-pekerja pembinaan tersebut serta sedikit sebanyak mengganggu perjalanan kerja-kerja di tapak pembinaan.
“Gajah ini ditangkap atas faktor keselamatan pekerja-pekerja pembinaan, pekerja ladang serta penduduk kampung di sekitar kawasan konflik,” katanya.
Katanya, Perhilitan Johor akan terus memantau keadaan gajah itu sehingga proses pemindahan ke habitat yang lebih sesuai selesai dijalankan. – UTUSAN










