DUNGUN : Seorang lelaki warga emas memohon dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu perempuannya yang berusia lima tahun, minggu lalu.
Tertuduh yang berusia 62 tahun membuat permohonan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Tertuduh yang bekerja sebagai pemotong rumput didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh kemaluan mangsa bagi maksud seksual dengan menggunakan alat sulit tertuduh.
Perbuatan terkutuk itu didakwa dilakukan tertuduh pada 24 Disember lalu kira-kira pukul 12 tengah hari hingga pukul 2 petang di kawasan semak, Jalan Kubang Kurus-Bukit Mentok, di sini.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara hingga maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.
Wan Suhaila membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan sehingga kes selesai dibicarakan.
Mahkamah menetapkan 2 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, perbuatan keji warga emas itu terbongkar selepas cucunya yang mengadu sakit di bahagian alat sulit dibawa ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan doktor oleh ibunya.
Kanak-kanak itu kemudian menceritakan kejadian tersebut kepada pegawai perubatan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan koyakan pada alat sulit mangsa. – UTUSAN










