Dataran Gangga Negara hidupkan semula potensi pekan Beruas - Utusan Malaysia

Dataran Gangga Negara hidupkan semula potensi pekan Beruas

SAARANI Mohamad melihat mural yang dihasilkan pada dinding di Laman Memori Beruas Dataran Gangga Negara di Beruas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERUAS: Pembinaan Dataran Gangga Negara di Pekan Beruas yang menampilkan elemen mural berkisar kerajaan Melayu lama diyakini mampu menghidupkan semula potensi kawasan itu sebagai sebuah pekan yang aktif, dinamik dan mempunyai daya tarikan tersendiri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, usaha menaik taraf dan memperindah Pekan Beruas dilaksanakan secara berperingkat dengan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM2.2 juta.

Katanya, pelaksanaan projek itu direalisasikan melalui kerjasama antara Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Vale Malaysia Minerals Sdn. Bhd. menerusi pendekatan tanggungjawab sosial korporat.

“Fasa pertama melibatkan pembangunan Laman Memori Beruas yang menampilkan elemen mural dan susun atur landskap bagi mengangkat identiti serta memori tempatan.

“Fasa kedua pula melibatkan pembangunan Dataran Gangga Negara di mana penyediaan laluan pejalan kaki yang lebih selesa dan selamat.

“Pendekatan ini memudahkan pergerakan orang ramai khususnya warga emas dan kanak-kanak di samping menjadikan kawasan pekan lebih mesra pengguna,” katanya ketika berucap merasmikan Dataran Gangga Negara di Pekan Beruas, di sini semalam.

Menurut Saarani, Beruas bukan sebuah pekan biasa, sebaliknya ia mempunyai sejarah yang panjang dan signifikan dalam pembentukan tamadun awal negeri Perak.

Malah katanya, nama Gangga Negara sendiri mengingatkan kita bahawa kawasan itu pernah menjadi antara pusat penting yang membentuk identiti dan perjalanan sejarah negeri ini.

“Namun, kita juga harus jujur mengakui bahawa perubahan masa telah memberi kesan kepada peranan Beruas. Apabila laluan utama berubah dan tumpuan pergerakan beralih, Beruas tidak lagi berada di laluan utama seperti dahulu.

“Akibatnya, peranan dan denyut aktiviti pekan ini semakin perlahan, walaupun nilai sejarah dan kedudukannya tetap kekal,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, seiring dengan masa, keadaan mula berubah apabila akses ke Beruas lebih mudah dan lancar susulan pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

Katanya, jaringan perhubungan yang semakin baik dipacu dengan pembangunan projek berimpak tinggi seperti Lumut Maritime Industrial City dan Perak Halal Industrial Park di Lekir, membentuk ekosistem pembangunan yang saling melengkapi di Manjung dan kawasan sekitarnya, termasuk Beruas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN