Gamuda peroleh dua kontrak EPC di Australia

Gamuda peroleh dua kontrak EPC di Australia

GAMUDA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gamuda Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya di Australia, DT Infrastructure (DTI), memperoleh dua kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bernilai keseluruhan AUD$1.1 bilion (RM3.12 bilion) bagi pembangunan projek stesen janakuasa solar di Australia.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata, perjanjian tersebut ditandatangani dengan Smoky Creek Solar Power Station Pty. Ltd. dan Guthrie’s Gap Solar Power Station Pty. Ltd .

Katanya, kontrak itu melibatkan Projek Stesen Janakuasa Solar Smoky Creek dan Projek Stesen Janakuasa Solar Guthrie’s Gap, masing-masing bernilai AUD550 juta (RM1.56 bilion).

Menurut syarikat itu, notis untuk meneruskan kerja bagi kedua-dua projek diterima pada 19 Mei 2026 dan pembinaan dijangka bermula pada pertengahan tahun ini.

“DT Infrastructure akan menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan termasuk reka bentuk, perolehan, pembinaan, ujian dan pentauliahan sistem penjanaan solar, sistem penyimpanan tenaga bateri serta infrastruktur berkaitan,” katanya.

Selain itu, DTI turut akan menyediakan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan berterusan selepas projek siap bagi memastikan prestasi serta kebolehpercayaan aset dalam jangka panjang.

Kedua-dua projek itu mempunyai tempoh kontrak selama dua setengah tahun.

Gamuda berkata, projek berkenaan dijangka menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui Australia melalui peningkatan kapasiti penjanaan tenaga bersih dan pengurangan pelepasan karbon.

“Projek ini juga dijangka memberi manfaat ekonomi kepada komuniti serantau menerusi peluang pekerjaan tempatan, penglibatan pembekal dan aktiviti ekonomi sepanjang tempoh pembinaan,” katanya.

Syarikat berkata, langkah pengurusan alam sekitar yang komprehensif akan dilaksanakan bagi melindungi kawasan sekitar, biodiversiti dan sumber air sepanjang pelaksanaan projek.

Menurut Gamuda, projek tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026 dan seterusnya sehingga projek siap dilaksanakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN