PUTRAJAYA: Dasar bumiputera di bawah Kerajaan Madani adalah jauh lebih baik berbanding kerajaan sebelum ini sekali gus menafikan kritikan sesetengah pihak bahawa tiada peruntukan diberikan untuk golongan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai bukti jelas serta berfakta boleh dikemukakan antaranya ialah peningkatan nilai jaminan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) kepada RM30 bilion mulai 2026, yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Untuk tahun 2026 juga, kerajaan memperuntukkan RM10 bilion khusus kepada PMKS Bumiputera supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
“Kadang-kadang orang jerit (peruntukan) bumiputera tak ada, Melayu tak ada, saya tak faham, sama ada mereka tak dengar, tak baca atau tak faham sebab ketimbang dasar-dasar sebelum ini, dasar bumiputera dalam Kerajaan Madani jauh lebih dan kita boleh berikan fakta,” katanya ketika menyampaikan amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Anwar berkata, kerajaan juga tidak mungkin boleh mengelak kritikan tajam selain ada yang menggunakan sentimen kaum dan agama termasuk menuduh bahawa Islam terpinggir.
“Tidak mungkin kita dapat mengelak daripada kritikan, kadang tajam, kadang keras dan menggunakan sentimen bahawa semua kaum tertekan, semua agama tertekan, tapi apa faktanya?
“Apa alasannya untuk menyatakan bahawa Islam terpinggir di negara kita? Semua tahu bahawa Islam itu agama Persekutuan dan kita harus angkat dengan penghayatan sedaya upaya kita,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia adalah negara Melayu dan Islam majoritinya, tetapi juga negara pelbagai kaum dan agama.
Bagaimanapun, katanya, kemajmukan itu bukan suatu perkembangan baharu, jadi semua pihak diminta jangan terlalu tergugat dengan tekanan-tekanan dari daerah, wilayah, kaum, agama selagi berpaksikan kepada keyakinan dan jelas hala tuju negara.
“Jangan izinkan ia mengalih pandangan kita kepada teras dan tonggak kekuatan dan hala tuju kita.
“Kita harus ada dan membuat pilihan sama ada mahu angkat negara ini sebagai negara hebat, menyatukan semua rakyat pelbagai kaum dengan menenggelamkan sentimen yang boleh menghakis kekuatan kita.
“Itu pilihan kita mahu pilih jadi kuat atau memilih untuk jadi remuk berkecai seperti mana berlaku di banyak negara lain,” katanya. – UTUSAN










