PETALING JAYA: Cuaca panas dan kurang hujan dijangka berterusan di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia khususnya di bahagian utara sehingga 31 Januari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan itu berdasarkan analisis model-model ramalan cuaca terkini.
Beliau menambah, penumpuan angin pula dijangka berlaku di Sabah, Labuan dan Sarawak bermula 29 hingga 31 Januari, yang berpotensi membawa ribut petir disertai hujan lebat dalam tempoh lebih panjang di kawasan berkenaan.
“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my, media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN








