PETALING JAYA: Keadaan di Gaza yang dilanda cuaca buruk hujan lebat dan angin kencang kini telah menambah derita rakyatnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, keperluan bekalan makanan, air bersih, perubatan serta tempat tinggal yang kritikal telah begitu menyukarkan penduduk untuk meneruskan kehidupan.
“Bantuan makanan masih terhad dan trak-trak penghantaran dikawal ketat dengan sebahagian kecil bantuan berjaya masuk melalui pedagang. Makanan amat diperlukan untuk kelangsungan hidup termasuk bekalan air bersih yang sesuai untuk dijadikan minuman.
“Para pegawai perubatan turut dijadikan sasaran oleh pengganas Israel menyebabkan sistem kesihatan hampir runtuh sepenuhnya. Ramai yang memerlukan rawatan tetapi tidak dapat untuk ke pusat kesihatan disebabkan oleh kecederaan yang mereka alami dan tidak berkemampuan.
“Selain itu, khemah yang wujud kini berusia lebih 18 bulan dan tidak mampu menahan cuaca buruk serta pengeboman berterusan. Hujan lebat dan angin kencang menambah kesukaran hidup keluarga yang terpaksa berpindah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Palestin dalam kenyataan memaklumkan, gangguan cuaca baru-baru ini mendedahkan kegagalan khemah memberi perlindungan mencukupi dengan ribuan khemah dinaiki air serta diterbangkan angin kencang dan hujan lebat.
“Keadaan ini menempatkan nyawa kanak-kanak dan warga emas dalam risiko langsung memandangkan tiada kaedah pemanasan selamat. Lebih 53,000 khemah untuk keluarga terpaksa berpindah dilaporkan rosak, memburukkan penderitaan dan menambah keperluan kemanusiaan mendesak.
“Anggaran dua juta orang kini terpaksa berpindah, termasuk hampir satu juta kanak-kanak yang kebanyakannya tinggal dalam khemah tidak lengkap,” katanya dalam kenyataan.
Data menunjukkan kira-kira 60,000 wanita hamil serta 97,000 orang kurang upaya dan mereka yang mengalami kecederaan serius tinggal dalam khemah tidak menepati standard keselamatan, sekali gus menjejaskan kesejahteraan mereka.
Menurut kementerian berkenaan, kira-kira 90 peratus infrastruktur awam di Gaza musnah akibat serangan Israel, dengan lebih 355,000 unit perumahan rosak termasuk sekitar 295,000 unit yang musnah sepenuhnya atau tidak boleh didiami.
“Unit perumahan siap pasang adalah pilihan paling sesuai untuk tempat tinggal sementara, dengan Gaza memerlukan 200,000 unit sebagai langkah kemanusiaan segera,” katanya. – UTUSAN











