Chegubard didakwa diugut selepas dedah isu ATM

Chegubard didakwa diugut selepas dedah isu ATM

BADRUL Hisham Shaharin pada sidang akhbar di sebuah restoran di Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa berdepan ugutan selain tawaran wang berjumlah besar susulan pendedahannya mengenai rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang dikaitkan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, tekanan berkenaan bagaimanapun tidak menggugat pendiriannya untuk terus memperjuangkan pendedahan yang melibatkan kepentingan awam.

“Perjuangan yang digerakkan ini bermula selepas kematian bapa saya tiga tahun lalu dan sejak itu komitmen saya hanya tertumpu kepada isu ketelusan serta kebajikan anggota ATM,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Badrul Hisham, beliau menzahirkan penghargaan kepada anggota, pegawai serta veteran ATM yang telah banyak membantu menyalurkan maklumat berkaitan pendedahan tersebut.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan bahawa identiti semua sumber terlibat akan dirahsiakan dan dilindungi sepenuhnya.

“Saya memberi jaminan bahawa tiada sesiapa pun akan mengetahui identiti sumber. Walau digantung terbalik sekali pun, saya tidak akan mendedahkan siapa sumber tersebut,” katanya.

Katanya, isu yang dibawa itu bukanlah bersifat peribadi sebaliknya dikaitkan dengan beban kehidupan yang ditanggung anggota bawahan serta veteran.

“Lebih menyayat hati apabila menziarahi kediaman veteran dan keluarga anggota tentera yang hidup serba kekurangan serta bergelut dengan tekanan kos sara hidup pada masa sama ada pihak di atas menjual kedudukan dan menggunakan pelbagai cara demi kepentingan peribadi,” dakwanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN