KUALA LUMPUR: Aktivis Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melakukan siasatan menyeluruh terhadap kepimpinan Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTEM) ekoran wujud keraguan dalam tadbir urus institusi berkenaan termasuk berkemungkinan salah laku.
Beliau mendakwa, antara persoalan yang timbul berhubung pembayaran beberapa kali kepada individu sama untuk pelbagai tujuan sehingga mencecah puluhan dan ratusan ribu secara baucar dan invois mahupun tanpa invois.
“Kita dapati ada berlaku bayaran invois tanpa baucar puluhan ribu melalui penama tunggal dan ada baucar melibatkan ratusan ribu dilakukan penama tunggal.
“Jumlahnya ada yang serendah RM30,000 dan ada yang dibayar lebih lagi daripada itu,” katanya dalam sidang akhbar hari ini .
Selain tu, dakwa Chegubard lagi, terdapat penggunaan dana UTEM untuk pembayaran khidmat peguam luar bagi tujuan peribadi, walaupun terdapat kakitangan institusi yang didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ekoran tindakan sama.
Dalam pada itu, Chegubard mendakwa, antara persoalan lain yang timbul ialah lantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebagai Profesor Adjung yang dilihat berisiko mempengaruhi sebarang keputusan melibatkan UTEM.
“Adakah usaha ini (lantikan Azam) dibuat bagi mengelakkan atau mempengaruhi siasatan terhadap dakwaan salah laku yang dikatakan berlaku di universiti berkenaan?
“Justeru, KPT perlu menyiasat UTEM bagi mengekang sebarang salah laku sekiranya ada,” katanya. – UTUSAN










