REMBAU: Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, berdepan detik cemas apabila kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas di Kilometer 7.3 Jalan Chengkau-Pilin-Lubuk Cina, di bawah jambatan Lebuhraya Pedas-Linggi, kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, kejadian berlaku ketika mangsa memandu dari arah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau menuju ke Kampung Lada Chengkau.
Bagaimanapun katanya pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati seekor haiwan yang tidak dikenal pasti secara tiba-tiba melintas dari arah kanan ke kiri jalan menyebabkan pemandu cuba mengelak ke kiri sebelum hilang kawalan.
“Akibatnya, kenderaan tersebut terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar tiang jambatan lebuh raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi berkata, kenderaan berkenaan mengalami kerosakan pada bahagian tayar dan rim hadapan kiri, bumper dan bonet hadapan, cermin serta lampu hadapan kiri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN








