KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) belum diratifikasikan atau disahkan dan masih di peringkat perbincangan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, terdapat pelbagai perkara perlu diteliti dan ditakrifkan secara jelas sebelum perjanjian ART diratifikasi dan ditandatangani.
Katanya, beberapa isu penting juga perlu ditakrifkan dengan jelas bagi memastikan kepentingan negara sentiasa terpelihara.
“Apa yang berlaku dalam ART ini mudah sahaja. Ada pandangan mengatakan kita tandatangan perjanjian dengan AS, kemudian mana-mana negara yang AS tidak suka, Malaysia perlu ikut. Itu tidak berlaku. Konteksnya ialah AS tidak mahu ada diskrimasi kepada mereka sekiranya kita bawa pelabur baharu sehingga menimbulkan ketidakseimbangan.
“Sebagai contoh pihak yang datang ke negara kita seperti di Pulau Pinang ada pelaburan dari AS dan dalam masa yang sama kita bawa negara lain datang melabur serta memberi pelbagai insentif, kemudian AS rasa terjejas. Perkara ini perlu kita jelaskan supaya tiada perbezaan dalam konteks ekonomi dengan AS,” katanya dalam sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut-PN) sebelum itu mengemukakan cadangan agar kaukus berkaitan diaktifkan semula bagi membolehkan semua pihak duduk berbincang secara bersama, sebelum perkara berkenaan dibawa ke Parlimen untuk penelitian lanjut serta seterusnya dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.
Dalam pada itu Johari berkata, sekrianya Malaysia mampu mengimbang hubungan dengan pelbagai kuasa, rundingan dengan negara ekonomi terbesar dunia termasuk AS tidak seharusnya menjadi isu dan Malaysia mengambil kira realiti semasa lebih-lebih lagi saiz ekonomi AS sekitar USD31 trilion ( RM125.7 trillion) , manakala China pula sekitar USD19 (RM78 trilion) trilion.
Beliau dalam masa yang sama berkata, kedaulatan negara tetap menjadi keutamaan dan akan memastikan tiada mana-mana perjanjian yang boleh menjejaskan kedaulatan Malaysia atau merugikan kepentingan negara.-UTUSAN









