Dewan Rakyat ‘panas’ dakwaan SPRM lepaskan ‘jerung’

Dewan Rakyat ‘panas’ dakwaan SPRM lepaskan ‘jerung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tuduhan yang sering timbul bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mengambil tindakan terhadap ‘ikan bilis’ tetapi melepaskan ‘ikan jerung’ dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini.

Ia apabila Mohd. Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) menggesa penjelasan dibuat secara jelas berhubung perkara itu.

Beliau berkata, tuduhan yang sering dilemparkan oleh pihak tertentu terhadap SPRM termasuk dakwaan wujudnya campur tangan Kerajaan Madani dan Perdana Menteri dalam tindakan agensi berkenaan disifatkan sebagai satu tohmahan serius.

“Perkara ini perlu diperjelaskan sama ada SPRM bersikap berat sebelah dalam menjalankan siasatan dan pendakwaan,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd. Sany turut menyentuh isu berkaitan menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berpandangan sekiranya individu berkenaan diketahui berada di Dubai, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya nak menyentuh isu berkaitan suami kepada anak Pagoh, saya tidak sebut menantu Pagoh, saya sebut suami kepada anak Pagoh.

“Sekiranya individu berkenaan betul diketahui berada di Dubai, tindakan sewajarnya perlu diambil iaitu mendapatkan waran, menahan, membawa pulang ke tanah air serta mendakwanya di mahkamah menggunakan sistem keadilan yang adil,” katanya.

Kata beliau, prinsip itu penting bagi menegakkan keadilan serta menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat bahawa undang-undang dilaksanakan secara saksama tanpa mengira kedudukan.

Beliau juga mempersoalkan tindakan individu yang didakwa tidak bersalah tetapi memilih untuk melarikan diri ke luar negara, sedangkan sekiranya tiada kesalahan, tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Dalam perkembangan lain, RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan pendedahan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa seorang bekas Perdana Menteri hanya mahu memegang jawatan itu bagi menyelamatkan diri daripada kes tertentu, selain dakwaan berkaitan penyelewengan wang parti. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN