Anak Malaysia angkat isu Gaza ke pentas filem dunia

Anak Malaysia angkat isu Gaza ke pentas filem dunia

TAYANGAN filem American Doctor sebuah dokumentari arahan rakyat Malaysia, Poh Si Teng yang berlangsung semalam di Festival Filem Sundance 2026 di Utah, Amerika Syarikat (AS) semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Solidariti rakyat Malaysia terhadap penderitaan warga Palestin menjadi inti pati penerbitan sebuah dokumentari yang mengangkat isu Gaza ke pentas filem dunia.

Dokumentari bertajuk American Doctor dirakamkan di Gaza, Jordan dan Amerika Syarikat (AS) membawa penonton menelusuri tanggungjawab etika para doktor yang bertugas dalam situasi peperangan dan berdepan tekanan politik.

Menurut pengarah filem, Poh Si Teng, didikan nilai belas kasihan, tanggungjawab dan kejelasan moral yang diterimanya sepanjang dibesarkan di Malaysia mendorongnya menghasilkan karya itu.

“Nilai-nilai yang saya hayati semasa membesar di Malaysia, bersolidariti bersama individu-individu lain dan bertindak dengan berpandukan hati nurani adalah inti pati filem ini.

“Saya amat berbangga kerana rakyat Malaysia memberi kepercayaan terhadap filem ini sejak dari mula lagi. Kedermawanan mereka menjadikan American Doctor satu realiti,” katanya semasa tayangan perdana dokumentari tersebut di Festival Filem Sundance 2026 di Park City, Utah, Amerika Syarikat.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu pernah menerima pencalonan Oscar untuk dokumentari pendek St. Louis Superman dan memenangi Anugerah Emmy baru-baru ini atas peranannya selaku penerbit eksekutif Patrice: The Movie. 

Katanya, dokumentari berkenaan menampilkan kisah tiga doktor dari Amerika Syarikat yang seorangnya berketurunan Palestin, manakala dua lagi beragama Yahudi dan Zoroastrian.

“Mereka berkhidmat di Gaza dan kemudian mempertaruhkan kerjaya mereka untuk berjuang dan membela nasib rakan-rakan sekerja serta para pesakit di Palestin,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN