Cekap panjat pokok, cantum tunas durian jadi sumber rezeki

Cekap panjat pokok, cantum tunas durian jadi sumber rezeki

MOHAMMAD Firdaus Asing (kanan) dan Vira Bungai melakukan kerja membalut benih durian selepas dicantum di tapak nurseri Kampung Damak di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Dua pemuda Orang Asli di Kampung Damak di sini sanggup memanjat pokok durian kampung setinggi sehingga 10 meter untuk mendapatkan tunas terbaik, sekali gus menjadikan kerja mencantum benih durian premium sebagai sumber pendapatan harian mereka.

Mohammad Firdaus Asing, 24, berkata, dia dan rakannya, Vira Bungai, 14, melakukan kerja itu selepas hasil hutan yang sebelum ini menjadi punca rezeki semakin berkurangan akibat penebangan dan pembangunan.

“Kami belajar hampir seminggu daripada seorang pengusaha sebelum mahir mencantum tunas durian. Kini sehari kami mampu menghasilkan 15 cantuman seorang bergantung keadaan pokok.

“Dalam tempoh dua bulan, kami sudah menghasilkan hampir 2,000 cantuman tunas durian musang king, IOI, damak king dan beberapa baka kampung premium lain yang kemudiannya dipindahkan ke tapak semaian sebelum dijual kepada pe­langgan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mohammad Firdaus berkata, kerja itu hanya menggunakan sebilah pisau kecil dan peralatan membalut, namun cabaran utama adalah memanjat pokok durian untuk mendapatkan tunas terbaik.

Sementara itu, Vira berkata, mereka menerima bayaran antara RM2 hingga RM3 bagi setiap cantuman dan hasil tersebut digunakan untuk membantu menampung keperluan dapur keluarganya.

“Walaupun kerja ini mencabar, ia lebih baik daripada bergantung kepada hasil hutan yang semakin berkurangan,” ujarnya.

Jelasnya, kemahiran baharu dalam pertanian perlu dipelajari kerana ia mampu membuka peluang rezeki dan masa depan lebih cerah, sekali gus menjadikan industri durian premium sebagai harapan baharu komuniti tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×