Rakyat AS protes selepas jururawat ditembak mati ejen ICE

Rakyat AS protes selepas jururawat ditembak mati ejen ICE

Orang ramai berkabung di lokasi pegawai imigresen menembak mati Alex Pretti di Minneapolis, Minnesota, Amerika Syarikat, Sabtu lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINNEAPOLIS: Ribuan penunjuk perasaan mula melakukan protes di bandar-bandar besar di Amerika Syarikat (AS) selepas seorang jururawat, Alex Pretti, ditembak mati oleh ejen persekutuan semasa operasi penguatkuasaan imigresen.

Demonstrasi secara besar-besaran itu diadakan di New York, San Francisco, Boston dan Providence bagi membantah serta mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan seorang pegawai imigresen dan pegawai pe­nguatkuasaan kastam AS (ICE).

Di Minneapolis, penunjuk perasaan mula berkumpul di lokasi tempat Pretti, 37, ditembak walaupun dalam cuaca sejuk bagi menuntut penjelasan dan keadilan bagi mangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Semasa demonstrasi, para penunjuk perasaan turut melaungkan nama Pretti dan seorang lagi warganegara AS, Renee Good, yang juga ditembak mati oleh seorang pegawai ICE kurang tiga minggu sebelum itu sebagai tanda solidariti.

Difahamkan, lokasi Pretti ditembak hanya kira-kira dua kilometer dari tempat Good ditembak.

Seorang penunjuk perasaan, Caleb Spike merasakan apa yang berlaku di negara itu adalah sesuatu yang di luar jangkaan dan tidak masuk akal.

“Rasanya setiap hari ada perkara yang semakin gila berlaku. Apa yang terjadi dalam komuniti kami ini salah, memuakkan dan menjijikkan,” katanya.

Sementara itu, di Union Square, New York, ribuan lagi warga AS berkumpul bagi me­nuntut pemansuhan ICE.

Ahli Majlis Bandaraya New York, Chi Ossé berkata, tindakan pegawai ICE itu adalah satu bentuk jenayah dan tidak patut dilakukan oleh seorang penguat kuasa undang-undang.

“Saya tidak mahu mengaku mereka adalah penguat kuasa undang-undang. Mereka sebenarnya membawa kekacauan dan memusnahkan negara,” katanya memetik The Guardian.

Di San Francisco, ratusan orang berkumpul bagi mendesak pemansuhan ICE serta menuntut keadilan untuk Good.

Sementara itu, di Washington, orang ramai berkumpul di hadapan bangunan Jabatan Ke­selamatan Dalam Negeri (DHS) sebagai tanda protes.

Menerusi video yang tular di media sosial, ratusan warganegara berhimpun sambil membawa sepanduk bertulis ‘fasisme tidak wajar dinorma­lisasikan’ dan ‘Amerika bukan lagi negara Kristian’.

Menurut kenyataan keluarga Pretti, mereka berasa marah dan kecewa terhadap tindakan ICE terhadap anak mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×