Jururawat ICU mangsa kedua ditembak mati pegawai imigresen AS

Jururawat ICU mangsa kedua ditembak mati pegawai imigresen AS

ALEX Pretti yang ditembak mati oleh pegawai imigresen Menneapolis. Amerika Syarikat, Sabtu lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINNEAPOLIS: Seorang jururawat unit rawatan rapi (ICU) ditembak mati oleh pegawai Imi­gresen di Minneapolis, Ame­rika Syarikat (AS), selepas didakwa memegang senjata.

Memetik laporan Al Jazeera, mangsa dikenal pasti sebagai Alex Pretti, 37, seorang jururawat ICU, yang ditembak beberapa kali sebelum meninggal dunia di hospital.

Jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), Tricia McLaughlin berkata, tembakan itu dilepaskan seorang pegawai Peronda Sempadan AS sebagai ‘defensive shots’.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia selepas Pretti didakwa membawa sepucuk pistol dan melawan ketika pegawai cuba melucutkan senjatanya.

Bagaimanapun, rakaman vi­deo kejadian yang tular menunjukkan Pretti hanya memegang telefon bimbit ketika berdiri di jalan sambil merakam pergerakan ejen sebelum disembur semburan lada, ditolak jatuh dan ditembak.

Dalam pada itu, menurut sekumpulan penyelidik dan wartawan dikenali sebagai Bellingcat, rakaman video kejadian tembakan itu menunjukkan sepucuk pistol telah diambil daripada lelaki berkenaan sebelum tembakan pertama dilepaskan.

“Dua ejen berlainan jelas kelihatan melepaskan tembakan, dengan sekurang-kurangnya 10 das tembakan kedengaran.

“Kebanyakan tembakan di­lepaskan selepas beberapa ketika, semasa lelaki itu sudah terbaring tidak sedarkan diri,” katanya.

Kematian Pretti menjadikannya orang awam kedua yang dibunuh oleh pegawai persekutuan selepas Renee Good, 37, yang ditembak oleh pegawai Imigresen dan Kastam (ICE) melibatkan protes sama di bandar itu.

Insiden itu mencetuskan protes besar di jalanan Minneapolis, dengan penduduk tempatan dan pemimpin negeri mengecam taktik agresif ejen persekutuan.

Sementara itu, Gabenor Minnesota, Tim Walz dalam satu sidang media berkata, insiden tembakan itu sudah lama me­langkaui soal penguatkuasaan imigresen dan mencerminkan sesuatu yang lebih besar.

“Ia merupakan satu kempen kekejaman terancang terhadap rakyat negeri kami. Dan hari ini (Sabtu), kempen itu meragut satu lagi nyawa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×