JOHOR BAHRU: Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura masih berhasrat terus kekal mencari rezeki di republik berkenaan meskipun nilai ringgit terus mengukuh, termasuk menghampiri paras bawah RM3 bagi setiap dolar Singapura.
Menurut seorang jurutera perisian, Zainal Abidin Mohd. Nazri, 35, pengukuhan mata wang tempatan tidak menjejaskan keputusannya untuk terus bekerja di negara jiran itu sejak 2017.
Katanya, walaupun faktor perbezaan kadar pertukaran mata wang menjadi tarikan utama pada peringkat awal, ia kini bukan lagi satu-satunya pertimbangan.
“Pada permulaan, memang faktor gaji tiga kali ganda menjadi pendorong utama. Namun selepas hampir 10 tahun, saya sudah membina kerjaya yang stabil, terlibat secara langsung membangunkan syarikat serta menikmati persekitaran kerja yang baik.
“Jadi walaupun ringgit terus mengukuh berbanding dolar Singapura, saya masih memilih untuk bekerja di sana buat masa ini,” katanya yang berulang-alik ke republik itu setiap hari dengan menunggang motosikal.
Kadar pertukaran ringgit berbanding dolar Singapura berada sekitar RM3.11 bagi setiap dolar, berbanding sekitar RM3.30 pada November tahun lalu.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata prestasi ringgit kini antara yang terbaik di Asia, sekali gus mencerminkan keberkesanan dasar tatakelola, kestabilan politik serta keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara.
Pandangan sama dikongsi seorang lagi rakyat Malaysia, Faris Hairi Ahmad Shah, 28, yang mula bekerja di Singapura sejak Disember lalu.
Menurutnya, sebelum ini beliau bekerja sebagai mekanik di sebuah syarikat kenderaan tempatan, namun membuat keputusan berpindah ke republik itu bagi bidang pekerjaan yang sama.
“Saya pilih bekerja di Singapura kerana kadar tukaran wang yang jauh lebih tinggi. Kerja dan tempoh masa sama, tetapi pendapatan boleh mencecah tiga kali ganda,” katanya. – UTUSAN











