KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman memberitahu bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir cuba ‘melarikan’ diri selepas tidak menjawab panggilan telefonnya.
Disebabkan itu, Aliff Syukri selaku defendan dalam kes saman fitnah memuat naik hantaran dan bukti mesej WhatsApp di media sosial, yang menunjukkan usaha dirinya untuk menghubungi plaintif, namun tidak mendapat sebarang maklum balas.
“Keadaan ini telah berlarutan selama berbulan-bulan malah bertahun-tahun, mesej dan panggilan saya tidak dijawab,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh peguam bela plaintif, Ravichandaran Selliah pada prosiding perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan terhadap defendan di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Ravichandaran kemudian membangkitkan persoalan mengenai notis tuntutan tidak dihantar lebih awal, sebaliknya defendan memilih untuk berkongsi dalam media sosial.
Aliff Syukri kemudian menjelaskan punca dirinya tidak mengambil tindakan berkenaan kerana pihak plaintif pernah menghubungi dirinya dan merayu untuk berbincang.
“Selagi perkara ini boleh dibincangkan secara baik, saya memilih untuk berbincang. Sebelum ini juga, Tan Sri ada menghantar surat kepada saya untuk mengatur pertemuan dan perbincangan. Pertemuan tersebut benar-benar berlaku dan saya mempunyai rakaman video serta gambar sebagai bukti.
“Saya tidak mahu memperbesarkan perkara ini atau melibatkan tindakan mahkamah kerana saya tidak mahu menanggung kos guaman. Tambahan pula, saya menghormati Tan Sri sebagai orang yang lebih berusia.
“Namun, selepas perbincangan itu, tiada sebarang pembayaran dibuat dan nombor saya disekat. Selepas itu, baru saya buat hantaran (media sosial),” katanya.
Semasa sesi perbicaraan kelmarin, Abdul Kadir menafikan beliau mengabaikan panggilan telefon dan mesej daripada Aliff Syukri.
Perbicaraan di hadapan Hakim Roslan Mat Nor berlangsung selama tiga hari, sejak Selasa lalu.
Abdul Kadir, 86, memfailkan saman pada 6 September 2023 dengan mendakwa Aliff, 39, yang terlibat dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut ramai di media sosial mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif di Instagram dan Facebook pada 2 Julai 2023.
Plaintif mendakwa kenyataan tersebut membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan berjuta ringgit selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan itu mengundang komen negatif daripada pembaca.
Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah itu.
Sementara Aliff Syukri pula menerusi pernyataan pembelaannya mendakwa beliau telah membuat bayaran pelaburan sebanyak RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usahasama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat.
Dakwanya, pihak-pihak di dalam perjanjian usahasama gagal membuat pembayaran wang yang telah dilaburkan selain segala pelanggaran-pelanggaran janji sedemikian termasuklah aku janji yang diberikan plaintif kepadanya adalah di dalam pengetahuan plaintif sendiri. – UTUSAN










