PETALING JAYA: Top Glove Corporation Bhd melaporkan keuntungan bersih RM38.58 juta pada suku pertama berakhir 30 November 2025 dengan pertumbuhan mengagumkan sebanyak 680 peratus tahun-ke-tahun.
Kumpulan juga mencatatkan Pendapatan Jualan sebanyak RM884 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026 itu walaupun berdepan persekitaran yang mencabar dan berdaya saing.
Prestasi kukuh itu didorong terutamanya oleh pertumbuhan Volum Jualan yang mantap di semua pasaran utama khususnya di Amerika Syarikat (AS).
Peningkatan kadar penggunaan loji telah menyumbang kepada kecekapan kos yang lebih baik dan skala ekonomi, disokong usaha berterusan dalam penambahbaikan kualiti dan pengoptimuman kos, inisiatif pemasaran strategic serta usaha penstrukturan semula organisasi yang membantu mengurangkan kos.
Selain harga bahan mentah lebih rendah, Top Glove berkongsi sebahagian penjimatan kos
dengan pelanggan, menunjukkan kekuatan penetapan harga dan fokus jangka panjang terhadap pelanggan.
Selain itu, kesan pertukaran mata wang asing telah diimbangi oleh kos bahan mentah yang lebih rendah dan Kumpulan terus melakukan lindung nilai terhadap keperluan dolar AS bagi
mengurangkan risiko ketidaktentuan dalam pertukaran asing.
Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan berkata, permulaan kukuh bagi tahun kewangan 2026 membina momentum berterusan daripada tahun lalu, dan menandakan pencapaian penting pemulihan margin Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) ke tahap pra-pandemik.
“Prestasi kami yang jauh lebih baik ini merupakan bukti kepada fokus kami terhadap pengoptimuman kualiti dan kecekapan kos, sambil memenuhi keperluan pelanggan kami sementara permintaan sarung tangan terus pulih secara stabil.
“Kami akan terus melaksanakan inisiatif penambahbaikan yang strategik dan yakin dapat mengekalkan trajektori menaik serta memberikan nilai yang mampan kepada semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.
Melihat ke hadapan, prospek industri sarung tangan kekal menjanjikan memandangkan sarung tangan terus menjadi barangan keperluan dalam sektor penjagaan kesihatan dan pelbagai sektor lain.
Kumpulan menjangkakan permintaan sarung tangan terus berkembang merentasi semua geografi, disokong oleh kitaran penyambungan semula stok yang stabil dan peluang baharu.
Bagi memenuhi permintaan yang meningkat, Top Glove akan terus mengaktifkan lebih banyak barisan pengeluaran apabila masa menunggu dan kadar penggunaan meningkat, sambil mengekalkan fokus terhadap kecemerlangan operasi melalui inisiatif pengoptimuman kualiti dan kos.
Perlindungan pertukaran asing yang aktif dan pengurusan kewangan yang berhemat akan mengukuhkan daya tahan, memastikan kumpulan berada dalam kedudukan yang baik untuk mengekalkan momentum menaik dan memberikan nilai jangka panjang. – UTUSAN









