Kekal istiqamah beribadah selepas Ramadan

Kekal istiqamah beribadah selepas Ramadan

Md. Radzi Hashim (tengah) berharap banyak program dianjurkan di maahad tahfiz dan masjid untuk menarik anak muda. – MINGGUAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUBUNGAN yang kukuh dengan Allah SWT menjadi kunci utama untuk memastikan amalan ibadah yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan dapat diteruskan secara istiqamah dalam kehidupan seharian.

Ahli Jawatankuasa Maahad Tahfiz al-Ikhlas Parit 7 Permatang Pelanduk, Pasir Salak, Perak, Md. Radzi Hashim, 78, berkata, ramai dalam kalangan umat Islam mampu melaksanakan pelbagai ibadah sepanjang Ramadan.

Namun gagal mengekalkannya selepas bulan tersebut berakhir kerana hubungan dengan Allah tidak dipelihara.

Menurut beliau, sepanjang Ramadan, umat Islam mampu berpuasa berjam-jam lamanya, menjaga solat dan mengimarahkan masjid dengan solat tarawih, namun selepas itu ramai kembali kepada rutin lama.

“Untuk kekal beribadah seperti semasa Ramadan, kita mesti ada hubungan dengan Allah. Apabila hubungan itu ada, barulah kita mendapat kekuatan untuk terus beribadah.

“Jika seseorang tidak menunaikan tanggungjawab kepada Allah, maka sukar untuk dia terus dekat dengan-Nya,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit 7, Permatang Pelanduk di Pasir Salak.

Beliau yang berasal dari Kampung Pasir Segoncang, Kampung Budiman, Sungai Kinta di Pasir Salak berkata, asas utama dalam membina hubungan tersebut ialah dengan menjaga solat lima waktu.

Katanya, solat merupakan tanggungjawab wajib setiap Muslim dan perlu ditunaikan pada waktunya.

“Apabila kita jaga solat, Allah akan suka kepada kita. Bila Allah suka, Dia akan beri taufik dan hidayah untuk kita teruskan ibadah.

“Kalau kita abaikan solat, kita akan lemah untuk melakukan ibadah lain,” ujarnya.

Tambah beliau, selain solat, amalan zikir juga penting untuk mendekatkan diri kepada Allah, termasuk memperbanyak istighfar, selawat, tahmid, tahlil dan takbir setiap hari.

“Paling tidak, kita lakukan 300 zikir sehari iaitu 100 kali istighfar, 100 kali selawat dan 100 kali tasbih. Ini membantu kita kekal mengingati Allah,” katanya.

Menurutnya, membaca al-Quran juga perlu dijadikan amalan harian walaupun sedikit.

“Jika tidak mampu banyak, cukup satu muka surat sehari supaya hubungan kita dengan Allah sentiasa terjaga,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara punca umat Islam gagal mengekalkan amalan selepas Ramadan adalah kerana tidak menjaga solat dengan baik, termasuk melengah-lengahkannya atau menunaikan di luar waktu.

“Terdapat yang solat Zuhur dalam waktu Asar, malah ada yang terus meninggalkannya. Ini tidak boleh berlaku kerana solat adalah tiang agama,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Md. Radzi berkata, Maahad Tahfiz al-Ikhlas Parit 7 Permatang Pelanduk kini mempunyai 15 pelajar berusia antara 10 hingga 17 tahun.

Beliau berharap, lebih banyak program keagamaan dan kemasyarakatan dapat diadakan di masjid dan pusat tahfiz dengan kerjasama pemimpin tempatan bagi menarik minat golongan muda.

“Program seperti ceramah agama, rekreasi, memanah, berkuda dan majlis santai boleh mendekatkan anak muda dengan masjid.

“Kami juga pernah menganjurkan kursus sembelihan korban dan mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Tambahnya, pihak maahad turut merancang untuk mengadakan kelas agama bagi golongan dewasa termasuk pengajian al-Quran, solat dan fardu ain.

“Bagi tujuan itu, kami sedang berusaha membina kemudahan seperti rumah tetamu untuk peserta yang mengikuti kelas nanti,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN