PETALING JAYA: Jemaah Menteri hari ini membuat keputusan agar Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi tujuan penelitian selanjutnya selaras dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, selaras dengan keputusan itu, usul yang dibentangkan di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan perkara tersebut dirujuk secara rasmi kepada jawatankuasa terbabit untuk dipertimbangkan mengikut aturan yang ditetapkan.
“Keputusan ini diambil selepas meneliti pandangan dibangkitkan semasa perbahasan bagi memastikan Ahli Parlimen diberikan peluang didengar sepenuhnya dalam Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
“Ia sekali gus membolehkan sebarang dapatan dibuat secara telus dan adil oleh jawatankuasa yang mempunyai mandat khusus di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azalina berkata, kerajaan Madani sentiasa yakin terhadap Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk menjalankan penelitian ini dengan penuh tanggungjawab, kebebasan dan integriti.
“Langkah ini juga menggambarkan komitmen kerajaan untuk mengekalkan kewibawaan Parlimen sebagai institusi tertinggi negara serta memastikan semua isu berbangkit ditangani berlandaskan prinsip demokrasi berparlimen,” katanya.
Sebelum ini, berdasarkan usul berkenaan, Takiyuddin dicadangkan untuk digantung daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan susulan kenyataannya berhubung satu kejadian yang membabitkan Maritim Malaysia di Masjid Rusila dekat Marang, Terengganu yang dikaitkan dengan peristiwa Memali di Baling, Kedah pada 1985.
Cadangan penggantungan itu terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen sejak semalam.
Melalui maklumat dikongsi AUM itu, usul berkenaan menyatakan Takiyuddin dalam ucapannya mengaitkan kejadian di Masjid Rusila dengan Peristiwa Memali pada 1985, serangan terhadap tempat ibadat dan percubaan untuk menakutkan rakyat. – UTUSAN










