KUALA LUMPUR: Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) meminta supaya dirinya dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataannya mengenai latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila, Terengganu yang disamakan dengan peristiwa Memali.
Membangkitkan kes terdahulu, Takiyuddin berkata, kerajaan pada 2010 membawa usul terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada ketika itu merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh berhubung kenyataan mengenai pelaksanaan dasar 1Malaysia yang disamakan dengan dasar kerajaan Israel.
Kata beliau, Anwar pada waktu itu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sebelum digantung menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan.
“Jadi apa salahnya saya sebagai orang yang dituduh, kalau sekiranya Yang Berhormat (YB) Menteri boleh meminda usul ini kepada merujuk saya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Saya masih Ketua Whip (PN), saya akan mengarahkan rakan-rakan terima, tidak perlu membuat belah bahagian.
“Hantar saya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, beri saya perbicaraan yang adil, beri saya hak untuk didengari, mempertahankan diri. Saya akan bawa saksi, dokumen-dokumen membuktikan kes saya.
“Di sini (Dewan Rakyat), mana mungkin saya bawa saksi dari (Masjid) Rusila, saya mungkin boleh bawa di depan Tan Sri (Johari Abdul). Saya menuntut hak dan kebebasan, keadilan pada saya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Johari yang merupakan Yang Dipertua Dewan Rakyat memberinya ruang kepadanya untuk bangun dan membahaskan usul penggantungan dirinya selama enam bulan yang dibawa oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Melalui Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) pada Selasa lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mencadangkan Setiausaha Agung Pas itu digantung kerana ucapannya yang mengaitkan kejadian di Masjid Rusila dengan peristiwa Memali di Baling, Kedah pada 1985.
Saifuddin Nasution berkata, ucapan Takiyuddin turut memberi imej negatif terhadap anggota dan imej Maritim Malaysia sebagai agensi dalam perkhidmatan awam.
Dalam pada itu, Takiyuddin mempersoal sama ada usul ke atas dirinya merupakan standard kerajaan dalam mengendali kes-kes yang sama seperti dihadapi beliau.
“Kami telah selesai, done deal, move on, dia (Saifuddin) ucapkan terima kasih kepada saya kerana faham keadaan ini. Adakah dalam keadaan ini saya nak dihukum lagi enam bulan?
“Saya sudah menghubungi ramai rakan-rakan lama. (Antaranya) Seremban (Anthony Loke Siew Fook) yang pada ketika ini berada di Singapura dan saya sudah hubungi Petra Jaya (Datuk Seri Fadillah Yusof) untuk jelaskan keadaan ini. Saya (juga) minta pandangan dari Pasir Gudang (Hassan Karim),” katanya. – UTUSAN










