Usul rujuk PM ke jawatankuasa Parlimen belum diterima

Dewan Rakyat belum terima usul rujuk PM ke jawatankuasa Parlimen

Jawatankuasa Parlimen
JOHARI ABDUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Dewan Rakyat belum menerima usul daripada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu merujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, pihaknya setakat ini tiada menerima sebarang usul mengenai perkara berkenaan.

“Belum (terima usul itu),” katanya ringkas ketika ditemui selepas merasmikan Hari Bersama Komuniti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi), hari ini.

Utusan Malaysia pada 8 Ogos lalu melaporkan Anwar perlu dirujuk kepada jawatankuasa itu jika beliau gagal menarik balik kenyataan atau memohon maaf secara terbuka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, tindakan tegas itu perlu diambil mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Parlimen tidak boleh dijadikan medan menyebar kenyataan mengelirukan, tidak berasas atau berunsur fitnah terhadap Ahli Parlimen.

Pembangkang menuntut permohonan maaf daripada Anwar berhubung dakwaan kononnya Muhyiddin mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi petrol RON95.

Terdahulu, Muhyiddin menuntut Anwar meminta maaf berhubung kenyataan tersebut ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat penafian Muhyiddin berhubung dakwaan mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi berkenaan.

Pada sidang Dewan Rakyat, Anwar memaklumkan menerima laporan ada ahli Parlimen pembangkang mempertahankan hak warga asing dalam mendapat manfaat penyelarasan subsidi, dengan mengaitkan nama Muhyiddin.

Dalam perkara berasingan, Johari berkata, penubuhan Nadi di seluruh negara berfungsi sebagai platform berkesan dalam memberi pendedahan mengenai proses demokrasi kepada rakyat.

“Selain itu, ia dijadikan sebagai pusat rujukan bagi Program Sekolah Parlimen dan Parlimen Belia.

“Nadi boleh melatih generasi muda dalam kepimpinan dan pemahaman demokrasi sekali gus menjadi hab komuniti mendapatkan maklumat tepat, sahih serta terkini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN