‘Kenapa Kabinet yang rujuk saya ke jawatankuasa hak, bukan Speaker?‘ - Utusan Malaysia

‘Kenapa Kabinet yang rujuk saya ke jawatankuasa hak, bukan Speaker?‘

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempersoalkan tindakan Kabinet yang membuat keputusan merujuk penggantungan beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) itu berkata, perkara tersebut sepatutnya diputuskan oleh Speaker Dewan Rakyat selaku Ketua Badan Kehakiman sebagaimana yang diminta semasa di Parlimen.

“Saya pun hairan juga, sebab apa urusan Dewan Rakyat (Parlimen) dibincang dan diputuskan dalam Kabinet (Jemaah Menteri). Di Malaysia, kita ada konsep pengasingan kuasa melibatkan tiga badan iaitu perundangan (Legislatif), Kabinet (Eksekutif) dan kehakiman (Judisiari).

“Antara tiga badan ini, tidak boleh campur tangan antara satu sama lain. Sebelum ini tidak pernah berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerangan dan Pemimpin Bersama Masyarakat India di sini malam tadi yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas memberitahu, isu penggantungan beliau itu sepatutnya diputuskan di peringkat Dewan Rakyat dan bukannya kabinet.

Katanya, sebelum ini penggantungan beberapa Ahli Parlimen selama enam bulan seperti Tan Sri Lim Kit Siang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Azmin Ali dan terbaru Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal di putuskan oleh Dewan Rakyat.

“Tapi kenapa saya sampai begini. Sepatutnya Speaker yang membuat keputusan berhubung kes ini.

“Bila bawa ke kabinet, ia sesuatu yang pelik dan perlu tanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said,” ujarnya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Jemaah Menteri membuat keputusan agar Takiyuddin dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi tujuan penelitian selanjutnya selaras dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, selaras dengan keputusan itu, usul yang dibentangkan di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan perkara tersebut dirujuk secara rasmi kepada jawatankuasa terbabit untuk dipertimbangkan mengikut aturan yang ditetapkan.

Sebelum ini, berdasarkan usul berkenaan, Takiyuddin dicadangkan untuk digantung daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan susulan ke­nyataannya berhubung satu kejadian yang membabitkan Mari­tim Malaysia di Masjid Rusila dekat Marang, Terengganu yang dikaitkan dengan peristiwa Memali di Baling, Kedah pada 1985.

Cadangan penggantungan itu terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen sejak semalam.

Melalui maklumat dikongsi AUM itu, usul berkenaan menyatakan Takiyuddin dalam ucapannya mengaitkan kejadian di Masjid Rusila dengan Peristiwa Memali pada 1985, serangan terhadap tempat ibadat dan percubaan untuk menakutkan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN