Semua keputusan PN perlu diputus bersama

Semua keputusan PN perlu diputus bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua keputusan Perikatan Nasional (PN) mesti diputuskan secara bersama parti komponen melalui perbincangan Majlis Tertinggi (MT).

Pemuda PN menegaskan, sebarang keputusan atau pendirian atas nama PN juga bukan hak mutlak mana-mana parti komponen secara sebelah pihak sahaja.

“Merujuk kepada perihal peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN, kami berpandangan dengan tegas bahawa semua keputusan atas nama PN mestilah dirujuk, dibincang dan diputuskan dalam Majlis Tertinggi Perikatan Nasional. Ini selaras dengan Fasal 13 Perlembagaan PN.

“Biarpun semua parti komponen boleh menyatakan pandangan, namun pendirian PN harus diputuskan secara konsensus bersama semua parti-parti komponen,” katanya
dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Armada Bersatu Malaysia, Hildman Idham dan Ketua Pemuda Nasional Gerakan, Lee Boon Shian serta Ketua Pemuda Kebangsaan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Justin Prabakaran.

Justeru, Pemuda PN menggesa kepimpinan di semua peringkat untuk mengamalkan politik hikmah, bijaksana serta memelihara adab dan etika gabungan bagi merealisasikan agenda lebih besar demi kesejahteraan rakyat dan masa depan Malaysia.

Terdahulu, Pas memberi bayangan bahawa pemimpin parti itu yang akan menerajui PN namun tidak semestinya diwakili Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Sebaliknya, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, berkata pemimpin parti itu yang akan diangkat sebagai Pengerusi PN adalah individu yang diyakini boleh menggembleng kekuatan parti yang ada di bawah perikatan terbabit.

“Muhyiddin meletakkan jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa Khamis ini. Saya yakin Pas akan menampilkan calon daripada parti ini untuk menerajui PN sebagai Pengerusi yang baharu.

“Calon itu tidak semestinya Presiden parti tetapi seorang individu yang diyakini boleh menggembleng kekuatan parti yang ada di bawah PN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN