KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abddul Kadir menyatakan bahawa beliau bersedia untuk memikul apa sahaja tanggungjawab dalam rombakan Kabinet yang dilakukan.
Beliau berkata, rombakan Kabinet merupakan hak penuh Perdana Menteri untuk menentukan hala tuju pentadbiran negara.
Sehubungan itu, beliau meletakkan kepercayaannya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membentuk sebuah pasukan yang mampu melaksanakan agenda Malaysia Madani secara berkesan.
“Segala keputusan bergantung kepada pertimbangan Perdana Menteri dan saya bersedia memikul apa-apa tanggungjawab yang diberikan mengikut ketetapan serta keperluan semasa pentadbiran negara ketika ini.
“Untuk waktu ini, tanggungjawab yang dipikul sekarang akan diteruskan seperti biasa, dan saya yakin Perdana Menteri mempunyai pertimbangan terbaik dalam membina pasukan pentadbiran yang mantap serta berwibawa.
“Sebarang keputusan lantikan Kabinet adalah hak Perdana Menteri dan perlu dihormati demi kestabilan serta ketelusann pentadbiran,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Apresiasi Media Kementerian Pendidikan Tinggi di sini, hari ini.
Pada masa sama, Zambry berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengekalkan beliau di Kementerian Pendidikan Tinggi yang sekali gus memberi ruang kepadanya untuk meneruskan tugasan yang telah diamanahkan sebelum ini.
“Saya ingin berterima kasih atas pelantikan semula sebagai Menteri Pengajian Tinggi dan Senator dua hari lalu, yang membolehkan saya meneruskan peranan kementerian dengan lebih tersusun serta komited demi kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN










