Ringgit dijangka cecah RM3.98 sedolar AS awal 2026 - Utusan Malaysia

Ringgit dijangka cecah RM3.98 sedolar AS awal 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka mengukuh ke paras RM3.98 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang awal 2026, daripada julat semasa RM4.00 hingga RM4.10, berikutan faktor sentimen pasaran dan perlahan aktiviti dagangan hujung tahun.

Pada awal dagangan semalam, ringgit dibuka pada 4.0520/0600 berbanding dolar AS sebelum mengakhiri dagangan pada 4.0450/0490.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, ini didorong oleh jangkaan peningkatan sentimen pasaran serta penyusutan aktiviti dagangan mata wang pada hujung tahun.

“Tempoh cuti panjang di AS sempena Krismas dan Tahun Baharu lazimnya menyebabkan pergerakan pasaran lebih perlahan, sekali gus memberi ruang kepada mata wang tempatan untuk menstabil dan mengukuh secara beransur-ansur.

“Sentimen ini juga kebiasaannya menyaksikan pasaran mata wang bergerak secara mendatar berikutan penyertaan pelabur yang berkurangan.

“Namun begitu, dengan faktor luaran yang semakin stabil, ringgit berpotensi mengukuh dan mencecah paras RM3.98 dalam tempoh terdekat, sekiranya sentimen pasaran kembali pulih pada awal tahun hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jumaat lalu, ringgit mencapai paras 4.03 berbanding dolar AS sekali gus mencatat nilai tertinggi baharu sejak Januari 2021.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim pula berkata, pengukuhan ringgit dalam tempoh dagangan minggu yang singkat kebanyakannya dipengaruhi oleh faktor teknikal dan bukannya asas ekonomi yang kukuh.

Ujarnya, minggu dagangan yang lebih pendek lazimnya menyaksikan kecairan pasaran yang lebih rendah apabila pelabur institusi dan pemain antarabangsa mengurangkan aktiviti menjelang musim cuti.

“Keadaan ini boleh menyebabkan pergerakan mata wang menjadi lebih ketara walaupun dipacu oleh aliran transaksi yang terhad.

“Dalam situasi kecairan yang rendah, sebarang aliran masuk jangka pendek seperti pelarasan portfolio hujung tahun, aktiviti lindung nilai serta penutupan posisi spekulatif boleh memberi kesan segera kepada pergerakan ringgit,” katanya.

Mohd. Faisol berkata, pengukuhan sedemikian selalunya bersifat sementara dan sukar dikekalkan sekiranya tidak disokong oleh faktor fundamental yang lebih kukuh seperti prestasi ekonomi domestik, dasar monetari yang jelas serta sentimen global yang menyokong mata wang pasaran sedang pesat membangun.

“Saya menjangkakan ringgit akan bergerak dalam julat RM4.00 sehingga RM4.05 pada awal tahun baharu, dengan potensi pengukuhan sederhana sekiranya sentimen pasaran global bertambah baik dan aliran pelaburan asing kembali lebih konsisten,” katanya.

Mengulas sama ada ringgit berpotensi kembali ke paras RM3.00 sedolar AS tahun hadapan, Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, sasaran tersebut adalah amat mencabar dalam persekitaran ekonomi semasa.

“Walaupun ringgit mempunyai ruang untuk mengukuh secara berperingkat, tahap RM3.00 memerlukan perubahan struktur yang besar dalam landskap ekonomi dan kewangan global.

“Untuk ringgit kembali ke paras RM3.00 sedolar, ia bukan sahaja memerlukan dolar AS melemah dengan ketara, malah memerlukan aliran masuk pelaburan asing yang sangat kukuh dan berterusan, selain pertumbuhan ekonomi domestik yang lebih tinggi berbanding rakan serantau,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN