PETALING JAYA: Polis merujuk kertas siasatan berhubung penderaan seorang pembantu rumah warga tempatan yang dipercayai dilakukan dua beranak di kediamannya di Rawang kepada Pejabat Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam (KUJAKA), hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya juga sudah mengemukakan kertas siasatan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Jumaat lalu.
Menurutnya, kedua-dua suspek juga sudah dibebaskan dengan jamin polis masing-masing pada 8 Disember dan 11 Disember lalu.
“Kertas siasatan sudah dikemukakan kepada TPR Selangor pada 12 Disember lalu dan akan dirujuk ke KUJAKA, hari ini bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mangsa didakwa telah dipukul beberapa kali sepanjang bekerja dengan majikannya itu.
“Namun, semakan mendapati kedua-dua suspek berkenaan tiada rekod kesalahan lampau selain mangsa juga tidak mengalami penderaan sepanjang dia bekerja sebelum ini,” jelasnya.
Katanya, mangsa dihantar oleh kenalannya dari rumah kebajikan ke rumah suspek pada September lalu, namun tempat asal mangsa masih dalam siasatan.
“Mangsa masih ditempatkan di rumah perlindungan,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, wanita dan anak lelakinya ditahan selepas didakwa melakukan penderaan ke atas pembantu rumah warga tempatan di kediamannya di Rawang, 7 Disember lalu.
Wanita berusia 57 tahun dan anaknya berumur 30 tahun ditahan dan direman empat hari bermula hari ini hingga 11 Disember lalu. – UTUSAN










